McDonald's Malaysia Bayar Zakat Perniagaan Berjumlah RM2 Juta

Zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada yang melibatkan barangan atau perkhidmatan. Zakat perniagaan merupakan suatu tanggungjawab yang wajib ditunaikan ke atas mereka yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud:

 

“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.” [Surah Al-Nur (24): 37]


Justeru itu, McDonald’s Malaysia telah menjalankan kewajipan membayar zakat perniagaan berjumlah RM2 juta kepada semua 14 negeri di Malaysia. Pembayaran bagi tahun 2021 ini merupakan jumlah terbesar semenjak McDonald’s Malaysia mula membayar zakat perniagaan lima tahun  yang lalu, sejak syarikat itu diambil alih Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi.

 

Majlis penyampaian zakat telah diadakan di McDonald's Putrajaya Presint 2. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk  Ahmad Marzuk  Shaary menyaksikan sumbangan zakat oleh Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar kepada wakil daripada kesemua 14 Agensi Pungutan zakat.


McDonald's Malaysia Bayar Zakat Perniagaan Berjumlah RM2 Juta


 

“Sumbangan zakat adalah penting dalam menyokong kebajikan sosial masyarakat yang kurang berkemampuan. Dengan pembayaran Zakat perniagaan oleh McDonald's Malaysia, diharap ia dapat membantu Agensi Pungutan Zakat di seluruh Malaysia untuk menyediakan bantuan kewangan kepada masyarakat yang memerlukan, serta meneruskan penyaluran bantuan dalam pelbagai bentuk bantuan kebajikan dan pendidikan,” kata Datuk  Ahmad Marzuk  Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

 

“Menyumbang kembali kepada masyarakat yang memerlukan merupakan nilai teras McDonald’s, sama ada melalui program tanggungjawab sosial korporat mahupun melalui sumbangan Zakat. Inisiatif sebegini tetap menjadi komitmen syarikat kami sepanjang tempoh pandemik COVID-19 dan perintah kawalan pergerakan. Oleh itu, sumbangan kami pada hari ini amat bermakna di mana kami mampu menyumbang sebanyak RM2 juta dalam Zakat yang juga merupakan jumlah tertinggi kami sehingga kini bagi membantu komuniti yang amat memerlukannya,” kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.

 

“Sebagai entiti perniagaan 100 peratus milik umat Islam, ia adalah tuntutan keagamaan untuk kami membayar zakat untuk diagihkan kepada golongan masyarakat yang memerlukan. Zakat adalah salah satu daripada lima rukun Islam, dan sebagai sebuah syarikat yang mengendalikan operasi di lebih 300 restoran di seluruh negara ini, menyantuni komuniti di tempat kami beroperasi sentiasa menjadi keutamaan kami. Kami berharap sumbangan kami kepada semua 14 negeri akan terus membantu golongan miskin di seluruh negara, terutamanya dalam keadaan hidup semasa yang penuh dugaan ini,” tambah Azmir.

 

Pada tahun 2019, McDonald’s Malaysia merupakan entiti perniagaan yang pertama menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP. Sijil ini mengiktirafkan perniagaan Malaysia bagi sumbangan zakat korporat mereka di negeri-negeri Wilayah Persekutuan. Selain itu, pada bulan Oktober 2020, McDonald’s Malaysia juga telah menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada Lembaga Zakat Selangor.

 

Sijil-sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat melengkapi Pensijilan Halal yang sedia dimiliki McDonald’s Malaysia.

 

“Halal di McDonald’s Malaysia merangkumi seluruh rantaian bekalan sumber dan operasi, daripada rasa makanan dan bahan ramuan halal, hingga kebersihan restoran dan program komuniti yang syarikat turut serta,” kata Azmir.

 

McDonald’s Malaysia merupakan antara restoran khidmat segera pertama di Malaysia yang menerima pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Penglibatan aktif syarikat ini dalam pelbagai program Halal sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), HALFEST, dan Sidang Kemuncak Halal Sedunia.

 

Untuk memastikan standard Halal yang ketat sentiasa dipatuhi di McDonald’s Malaysia, syarikat ini telah membentuk Jawatankuasa Halal Dalaman pada tahun 2013 untuk memantau pematuhan sepenuh secara menyeluruh.


Semoga segala usaha baik yang dijalankan oleh McDonald's Malaysia dalam membantu pembangunan ummah dapat menjadi contoh kepada peniaga-peniaga yang lain dan sekaligus dapat membantu Malaysia kembali bangkit setelah dilanda musibah yang berpanjangan akibat  pandemik COVID-19

Post a Comment

0 Comments