Kalau 10 tahun lalu ada orang beritahu yang satu hari nanti aku akan berdiri di pentas antarabangsa di Rusia untuk bercakap tentang dunia blogging dan content creation, mungkin aku sendiri pun akan ketawa.
Namun pada Mei 2026, perkara itu benar-benar berlaku.
Aku menerima jemputan untuk menghadiri Kazan Forum 2026 sebagai speaker bagi berkongsi pandangan tentang bagaimana blogger dan content creator mampu membantu mempromosikan industri pelancongan kepada audiens global. Sebagai seseorang yang sudah bertahun-tahun menghasilkan kandungan berkaitan pelancongan, jemputan ini semestinya satu penghormatan yang cukup besar buat aku.
Lebih menarik, forum ini berlangsung di Kazan, ibu kota Republik Tatarstan yang terkenal sebagai antara bandar paling unik di Rusia. Sebuah bandar yang menggabungkan budaya Timur dan Barat, Islam dan Kristian, sejarah dan kemodenan dalam satu destinasi.
Apa yang aku sangka hanya sebuah perjalanan kerja akhirnya bertukar menjadi satu pengalaman yang membuka mata tentang keindahan Kazan dan budaya masyarakat Tatar yang begitu kaya dengan sejarah.
15 Jam Perjalanan Ke Kazan Dengan Transit Di Istanbul
Pada 13 Mei 2026, aku memulakan perjalanan ke Kazan dengan menaiki Turkish Airlines.
Perjalanan kali ini memerlukan transit selama sembilan jam di Istanbul sebelum menyambung penerbangan selama hampir lima jam lagi ke Kazan. Secara keseluruhan, perjalanan mengambil masa hampir 15 jam.
Daripada menghabiskan masa di lapangan terbang, aku mengambil peluang untuk keluar meneroka Istanbul. Bukan selalu dapat transit selama sembilan jam di salah sebuah bandar paling bersejarah di dunia.
Antara aktiviti yang sempat aku lakukan ialah menaiki Bosphorus Cruise sambil menikmati panorama bandar Istanbul dari atas air. Dari satu sisi kelihatan bangunan moden yang menghiasi langit bandar, manakala di sisi lain berdiri megah masjid-masjid bersejarah yang menjadi simbol kegemilangan empayar silam.
Aku juga sempat mengikuti city tour ringkas sebelum kembali ke lapangan terbang untuk penerbangan seterusnya.
Walaupun penat, pengalaman transit di Istanbul benar-benar menjadikan perjalanan ke Kazan lebih menarik.
Beberapa jam kemudian, pesawat yang aku naiki selamat mendarat di Kazan International Airport.
Ketibaan kami disambut oleh pasukan Discover Russia sebelum dibawa ke Dion Inn Hotel Kazan untuk daftar masuk dan berehat.
Selepas makan tengah hari, aku kembali ke bilik untuk merehatkan badan. Maklumlah, selepas hampir 15 jam perjalanan, badan memang perlukan sedikit masa untuk kembali segar.
Pada sebelah malam, kami dibawa menikmati makan malam di Louise Restaurant. Ini merupakan peluang pertama untuk berkenalan dengan peserta lain,
Hari Pertama Menjelajah Kazan
Keesokan harinya, selepas sarapan pagi, kami memulakan lawatan sekitar bandar Kazan.
Sejak dari awal lagi, aku dapat merasakan bahawa Kazan mempunyai identitinya yang tersendiri. Bandar ini tidak terasa seperti bandar-bandar lain di Rusia yang sering dipaparkan di media. Sebaliknya, Kazan mempunyai karakter yang unik hasil gabungan budaya Rusia dan Tatar yang hidup bersama sejak ratusan tahun dahulu.
Destinasi pertama kami ialah Kazan Wedding Palace.
Bangunan ini mempunyai reka bentuk yang cukup unik kerana menyerupai sebuah kawah gergasi. Dari kawasan sekitarnya, pengunjung boleh menikmati pemandangan Sungai Kazanka dan latar bandar Kazan yang cukup cantik.
Seterusnya kami mengunjungi National Library of the Republic of Tatarstan yang menjadi pusat ilmu dan kebudayaan penting di republik ini. Bangunannya moden dan futuristik, membuktikan bahawa Kazan bukan sekadar kaya dengan sejarah tetapi juga bergerak seiring dengan pembangunan semasa.
Namun destinasi yang paling aku nantikan sudah tentu Kazan Kremlin.
Kazan Kremlin: Simbol Kebanggaan Tatarstan
Jika ada satu lokasi yang wajib dikunjungi apabila berada di Kazan, inilah tempatnya.
Kazan Kremlin merupakan mercu tanda paling terkenal di bandar ini dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Kompleks bersejarah ini dibina di atas bukit yang menghadap Sungai Kazanka dan menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa penting dalam sejarah rantau ini.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke kawasan Kremlin, aku terus faham kenapa tempat ini dianggap sebagai jantung kepada Kazan.
Apa yang membuatkan Kazan Kremlin begitu istimewa ialah gabungan dua budaya besar yang membentuk identiti bandar ini. Di dalam kompleks yang sama berdiri megah Kul Sharif Mosque, salah sebuah masjid paling cantik di Rusia, dan Annunciation Cathedral yang menjadi simbol Kristian Ortodoks.
Jarang sekali kita dapat melihat dua simbol agama yang begitu penting berdiri bersama dalam suasana yang harmoni.
Bagi aku, inilah gambaran sebenar Kazan.
Sebuah bandar yang meraikan kepelbagaian budaya dan agama tanpa menghilangkan identiti masing-masing.
Selain nilai sejarahnya, Kazan Kremlin juga menawarkan pemandangan bandar yang sangat menakjubkan. Dari sini, kita dapat melihat gabungan bangunan moden, sungai yang mengalir tenang dan kawasan bandar lama yang masih terpelihara.
Aku boleh katakan bahawa Kazan Kremlin merupakan antara lokasi paling menarik yang pernah aku lawati sepanjang pengembaraan ke Rusia.
Menyelami Budaya Masyarakat Tatar
Selepas itu, kami dibawa ke Old Tatar Settlement yang merupakan kawasan penempatan tradisional masyarakat Tatar.
Di sinilah pengunjung boleh melihat sendiri bagaimana budaya Tatar masih dipelihara sehingga ke hari ini. Rumah-rumah tradisional yang berwarna-warni, seni bina klasik dan suasana kejiranan yang tenang menjadikan kawasan ini sangat menarik untuk diterokai.
Kami turut melawat Tugan Avylym, sebuah kompleks kebudayaan yang direka menyerupai perkampungan tradisional Tatar.
Di sini, aku dapat melihat dengan lebih dekat kehidupan masyarakat Tatar serta memahami bagaimana budaya mereka berkembang sehingga menjadi sebahagian penting daripada identiti Republik Tatarstan hari ini.
Makan Malam Paling Unik Di Kaleidoscope
Jika ada satu pengalaman yang paling berbeza sepanjang berada di Kazan, ia pasti makan malam interaktif di Kaleidoscope.
Sepanjang sesi makan malam, kami dihidangkan dengan pelbagai makanan tradisional sambil menonton tayangan video yang memaparkan sejarah Kazan dan Republik Tatarstan. Video tersebut membawa kami menyelami kisah perkembangan bandar Kazan, budaya masyarakat Tatar dan perjalanan sejarah wilayah ini dari zaman lampau sehingga menjadi antara pusat ekonomi dan pelancongan penting di Rusia hari ini.
Pada masa yang sama, kami dihidangkan dengan pelbagai makanan tradisional termasuk daging kuda dan daging angsa.
Jujurnya, bukan setiap hari kita berpeluang menikmati hidangan seperti ini sambil menyaksikan persembahan budaya yang membawa kita menyelami sejarah sesebuah tempat.
Ia benar-benar menjadi pengalaman yang sukar dilupakan.
Berdiri Di Pentas Kazan Forum 2026
Hari berikutnya merupakan hari yang paling bermakna sepanjang berada di Kazan.
Aku menghadiri Kazan Forum 2026 sebagai speaker jemputan untuk berkongsi pandangan mengenai peranan blogger dan content creator dalam industri pelancongan.
Berdiri di atas pentas forum antarabangsa dan berkongsi pengalaman sebagai blogger merupakan satu detik yang cukup istimewa buat aku.
Dalam sesi tersebut, aku berkongsi bagaimana blog, video dan media sosial kini memainkan peranan yang sangat besar dalam mempengaruhi keputusan pelancong.
Hari ini, ramai orang tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada iklan atau brosur pelancongan. Sebaliknya mereka mencari pengalaman sebenar yang dikongsikan oleh blogger dan content creator sebelum membuat keputusan untuk melawat sesuatu destinasi.
Sebab itulah pencipta kandungan kini menjadi sebahagian daripada ekosistem pelancongan moden.
Aku juga berkongsi bagaimana kerjasama antara organisasi pelancongan dan content creator boleh membantu memperkenalkan destinasi baharu kepada pasaran antarabangsa dengan lebih berkesan.
Selain sesi forum, hari tersebut turut dipenuhi dengan beberapa sesi networking dan pertemuan industri sebelum kami berpeluang melawat Kazan Mall pada sebelah petang.
Menjelajah Island Town Sviyazhsk
Hari keempat membawa kami ke salah satu destinasi paling menarik di Republik Tatarstan iaitu Island Town Sviyazhsk.
Terletak di atas sebuah pulau yang dikelilingi sungai, bandar kecil ini mempunyai suasana yang sangat berbeza daripada Kazan.
Sviyazhsk sering dianggap sebagai muzium hidup kerana masih mengekalkan banyak bangunan dan monumen bersejarah yang berusia ratusan tahun.
Berjalan di sini seolah-olah membawa aku kembali ke zaman Rusia lama.
Suasananya tenang, pemandangannya cantik dan sejarahnya cukup kaya.
Selepas melawat muzium yang memaparkan sejarah percetakan dan pembuatan papan tradisional, kami menikmati makan tengah hari sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.
Bertemu Alpaca Di Tengah Republik Tatarstan
Siapa sangka dalam trip ke Rusia aku boleh bertemu alpaca?
Kami dibawa ke Alpaca Park yang menjadi antara tarikan keluarga popular di kawasan tersebut.
Alpaca di sini sangat jinak dan mesra pengunjung. Sudah tentu peluang seperti ini tidak aku lepaskan untuk mengambil gambar dan merakam video.
Tempat ini memberikan suasana santai yang cukup berbeza selepas beberapa hari dipenuhi lawatan sejarah dan program rasmi.
Menjelang petang, kami dibawa ke Country Club Utrau untuk bermalam.
Terletak di kawasan yang dikelilingi alam semula jadi, resort ini memberikan suasana yang cukup damai dan menjadi tempat yang sempurna untuk berehat selepas jadual yang agak padat sepanjang beberapa hari sebelumnya.
Tamatnya Babak Kazan, Bermulanya Pengembaraan Baharu
Lima hari di Kazan berlalu dengan begitu pantas.
Daripada berdiri di pentas Kazan Forum 2026, menjelajah Kazan Kremlin yang bersejarah, menikmati hidangan tradisional masyarakat Tatar sehinggalah meneroka Sviyazhsk dan Alpaca Park, setiap pengalaman memberikan perspektif baharu tentang Rusia yang jarang kita lihat di media.
Apa yang pasti, Kazan berjaya membuktikan bahawa ia bukan sekadar bandar persinggahan, tetapi sebuah destinasi yang mempunyai identiti, sejarah dan budaya yang sangat unik.
Namun pengembaraan aku di Rusia masih belum berakhir.
Dari Kazan, perjalanan diteruskan ke Republik Mari El sebelum menuju ke Moscow.
Dan percayalah, kisah di Mari El dan Moscow juga tidak kurang menariknya.
Bersambung...




0 Comments