Pendidikan Awal Kanak-Kanak : Teori & Falsafah Friedrich Froebel (1782-1852)

Froebel merupakan seorang tokoh pendidikan Jerman yang banyak menghabiskan masa hayatnya untuk membentuk sistem pendidikan awal kanak-kanak. Froebel banyak belajar dari Pestalozzi dan pernah bekerja dengannya.


Berbanding Pestalozzi yang memberi tumpuan pada pengajaran, Froebel membentuk kurikulum dan kaedah pengajaran awal untuk kanak-kanak. Beliau turut mendapat jolokan 'bapa kindergarten'. Hasil hubungannya yang rapat dengan Pestalozzi dan bacaan hasil-hasil karya Rousseau, Froebel telah membuka sebuah sekolah untuk mempraktikkan idea-ideanya. 


Pendidikan Awal Kanak-Kanak : Teori & Falsafah Friedrich Froebel (1782-1852)


Beliau telah mengasaskan sekolah taman kanak-kanak pada tahun 1837. Sekolah ini dinamakan kindergarten. 'Kinder' bermaksud kanak-kanak dan 'garten' membawa maksud taman. Baginya taman kanak-kanak perlu dipenuhi dengan keindahan untuk menarik perhatian kanak-kanak.


Froebel seorang yang taat dalam agama dan beranggapan manusia secara semula jadi adalah baik. Baginya dunia adalah tempat bekerja dan manifestasi terhadap Tuhan. Dengan demikian manusia bertanggungjawab untuk memahami dunia ini dan hidup di dalamnya dengan lebih berguna.


Sumbangan Froebel dalam pendidikan ialah dalam bidang ;

  • Pembelajaran
  • Kurikulum
  • Metodologi pengajaran
  • Latihan guru

Konsepnya tentang kanak-kanak dan bagaimana mereka belajar adalah berasaskan idea yang diistilahkan sebagai unfolding (proses pengembangan seperti bunga yang kembang) yang sebelum ini telah diasaskan oleh Comenius dan Pestalozzi. Peranan pendidik sama ada ibu bapa atau guru ialah membuat pemerhatian terhadap natural unfolding dan menyediakan aktiviti yang membolehkan kanak-kanak belajar apabila mereka bersedia untuk belajar. Peranan guru ialah mengembangkan kualiti yang diwarisi untuk belajar. Justeru guru dianggap sebagai pereka bentuk pengalaman dan aktiviti kanak-kanak.


Froebel menganggap kanak-kanak seperti benih yang baru ditanam, kemudian bercambah dan mula mengeluarkan pucuk. Selepas tumbuh pokok itu membesar, daripada pohon yang lembut menjadi keras dan akhirnya menghasilkan buah. Beliau mengumpamakan guru sebagai tukang kebun. Di dalam kebunnya yang dipenuhi kanak-kanak, mereka dididik dalam suasana yang tertutup penuh dengan keharmonian dalam keadaan semula jadi.


Pendidikan Awal Kanak-Kanak : Teori & Falsafah Friedrich Froebel (1782-1852)


Bagi Froebel, kindergarten perlu dihias dengan menarik untuk menarik perhatian kanak-kanak. Kindergarten perlu dicat dengan warna yang terang, mempunyai bilik yang dapat dimasuki cahaya dan dipenuhi dengan tanam-tanaman, binatang dan gambar. 


Untuk memberi keselesaan kepada kanak-kanak, kindergarten perlu dilengkapi dengan kerusi dan meja yang sesuai. Tempat itu harus selesa dan mudah untuk menjalankan aktiviti.


Pendidikan Awal Kanak-Kanak : Teori & Falsafah Friedrich Froebel (1782-1852)


Kindergarten juga perlu dipenuhi dengan pemandangan, bunyi-bunyian dan alat permainan. Kesemuanya harus merupakan objek yang mempunyai bentuk yang mudah, pelbagai saiz dan warna. Kindergarten merupakan sebuah institusi yang membolehkan kanak-kanak bergaul dengan rakan sebaya tanpa kawalan ibu bapa dan guru. Suasana di kindergarten hendaklah dapat mengawal kanak-kanak daripada pengaruh jahat yang terdapat dalam masyarakat dan bahaya alam semulajadi.


Di kindergarten perkembangan mental, fizikal dan sosial kanak-kanak hendaklah dipupuk. Semua elemen itu merupakan suatu pendekatan terhadap latihan kanak-kanak.


Pendidikan Awal Kanak-Kanak : Teori & Falsafah Friedrich Froebel (1782-1852)


Froebel berpendapat bahawa pendidikan adalah pembinaan watak atau peribadi kanak-kanak. Pendidikan hendaklah berdasarkan keperluan dan keupayaan kanak-kanak. Disebabkan kanak-kanak mempelajari sesuatu melalui perbuatan, mereka hendaklah dianggap sebagai kanak-kanak dan perlu diberikan kebebasan. Peringkat pendidikan awal kanak-kanak sangat penting dan menjadi asas kepada semua pendidikan selanjutnya.


Froebel menyatakan bahawa penghidupan itu suatu proses evolusi, dan memajukan individu bermakna memajukan masyarakat. Kedua-duanya saling mempengaruhi. Kindergarten adalah tapak semaian bagi latihan kemasyarakatan seperti kerjasama, menggunakan daya usaha sendiri, bersikap membina hormat-menghormati, menjaga kebersihan dan menggaakkan kesihatan yang baik.


Teori dan falsafah Froebel ini agak panjang sebenarnya untuk dihuraikan dalam satu artikel, jadi bagi memudahkan anda untuk lebih faham atau lebih mendalami terutama bagi mereka yang mengambil jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak ini, aku akan sambung mengenai teori dan falsafah Froebel pada artikel akan datang. 


Untuk artikel seterusnya aku akan kongsikan tentang strategi pengajaran dan pembelajaran Froebel. Semoga artikel ini memberi manfaat. 


Rujukan : Dr. Azizah Lebai Nordin, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya



Sertai link berikut untuk lebih banyak tips parenting dan ilmu pendidikan awal kanak-kanak https://t.me/+sacNR_e0JuI5MjVl




Post a Comment

2 Comments

  1. Bagus ada pendidikan kanak-kanak dengan cikgu yang betul. Baru tahu pasal sejarah Kindergarten. heehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe..benda-benda camni sebenar penting jugak untuk kita tahu kan..hehe

      Delete