Kebelakangan ini kita sering dikhabarkan dengan kematian mengejut. Bayangkan jika yang meninggal itu adalah pasangan kita, pasti dunia ini terasa gelap seketika. Aku juga tak mampu nak bayangkan jika suami pergi meninggalkan aku saat aku belum bersedia.


Tapi sebagai seorang isteri, ambil tahu tentang hak-hak kita terhadap harta suami. Hari ini ku nak berkongsi sedikit pengetahuan tentang hak-hak seorang balu keatas harta peninggal sang suami. Moga perkongsian ini bermanfaat untuk semua.


Apa Hak Isteri keatas Harta Peninggalan Suami?

Perlu diingatkan, jika berlaku kematian semua harta yang ditinggalkan si mati adalah harta pusaka. Ia wajib diselesaikan mengikut hukum faraid setelah diselesaikan kewajipan seperti perbelanjaan pengurusan jenazah, hutang-piutang, wasiat, hibah dan harta sepencarian.


Waris terdekat lazimnya mengambil tugas menguruskan pusaka si mati dengan ditunaikan segala kewajipan yang dinyatakan di atas. Sesiapa yang menguruskan harta pusaka si mati tidak bermakna dia boleh melakukan apa yang dikehendakinya.

Begitu juga waris si mati, mereka juga tidak boleh mengambil tindakan sesuka hati sehingga mengetepikan hak waris yang lain. Pengurusan harta pusaka si mati perlu disegerakan. Tujuannya bagi mengelak terjadinya pertikaian dan perbalahan antara ahli waris, perbuatan tidak amanah dan perkara yang boleh menyebabkan harta yang ditinggalkan menjadi sia-sia kerana gagal dibahagikan kerana waris berlapis selepas kematiannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).” (Surah an-Nisa’, ayat 29)
Berdasarkan ayat itu, Allah SWT memberi peringatan kepada manusia iaitu mengambil dan menggunakan harta pusaka tanpa hak adalah perbuatan yang tidak dibenarkan syarak. Apa saja tindakan untuk menggunakan harta pusaka tanpa hak perlu mendapat persetujuan semua waris kerana mereka juga ada hak ke atas harta pusaka berkenaan.

Harta Sepencarian

Harta sepencarian boleh ditakrifkan sebagai sebarang harta alih atau tidak alih yang diperoleh pasangan suami isteri secara langsung atau tidak langsung dalam tempoh sesuatu perkahwinan yang sah.
Dalil Syara' mengenai harta sepencarian ini boleh dirujuk pada Surah An-Nisa' ayat 32 yang berbunyi

وَلَا تَتَمَنَّوْا۟ مَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بِهِۦ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا ٱكْتَسَبُوا۟ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٌ مِّمَّا ٱكْتَسَبْنَ وَسْـَٔلُوا۟ ٱللَّهَ مِن فَضْلِهِۦٓ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمًا
Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
 


Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 2003, Seksyen 2 (1) mentafsirkan bahawa: Harta sepencarian ertinya harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak.
Berdasarkan Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 2003, dinyatakan berkenaan kuasa mahkamah yang boleh memerintahkan pembahagian harta sepencarian dilakukan.
Dapat disimpulkan, harta sepencarian adalah harta yang terhasil sama ada dengan usaha bersama antara suami isteri atau salah satu pihak.
Di bawah Seksyen 122 itu, isteri yang tidak bekerja atau bersama-sama membantu suami memperoleh sesuatu harta dalam perkahwinan boleh membuat tuntutan bagi mendapatkan bahagiannya. Penamaan sesuatu harta bukan bermaksud milik mutlak si penama kerana ada sumbangan pihak lain ke atas harta itu juga.
Dalam Seksyen 122 juga memperuntukkan:
l Mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat perintah perceraian, memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.
l Dalam menjalankan kuasa yang diberi oleh Subseksyen (3), mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada:
a. Takat sumbangan yang dibuat pihak yang tidak memperoleh aset itu kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumah tangga atau menjaga keluarga.
b. Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada dan tertakluk kepada pertimbangan itu, mahkamah boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan mengikut apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah. Walau bagaimanapun, pihak yang memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima kadar yang lebih besar.
Dalam menentukan kadar dalam harta sepencarian, faktor utama yang menjadi pertimbangan mahkamah adalah sumbangan pihak terhadap perkahwinan dan harta berkenaan.
Justeru, sebagai isteri yang tidak bekerja dan hanya menjadi suri rumah sepenuh masa, dia masih mempunyai hak untuk mendapatkan bahagian mereka dalam harta sepencarian.
Namun, tiada peruntukan khusus tuntutan harta sepencarian selepas kematian dan tidak termaktub secara jelas dalam mana-mana Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia.
Sebaliknya, ia terkandung dalam Amalan Arahan No 5 Tahun 2003 JKSM yang menyatakan, masa tuntutan harta sepencarian boleh dibuat ketika tuntutan perceraian, selepas perceraian atau selepas kematian.
Adalah dicadangkan, jika mahu menuntut bahagian dalam harta sepencarian, ia hendaklah diselesaikan dahulu sebelum pembahagian harta secara faraid dibuat.
Selepas mahkamah memerintahkan harta itu adalah harta sepencarian atau tidak dan kadar bahagian yang diperoleh isteri, baki daripada harta sepencarian akan dibahagikan secara faraid dan isteri tetap mempunyai bahagian dalam pembahagian secara hukum faraid (Rujukan dari Peguam Syarie)

Bagaimana Pula Pembahagian Terhadap Anak-Anak?


Sebenarnya segala keterangan tentang faraid dan pembahagian harta boleh dirujuk di dalam Al-Quran. Dalam Surah An-Nisa banyak diterangkan tentang pembahagian harta. Surah An-Nisa' ayat 11 Allah telah berfirman :


يُوصِيكُمُ ٱللَّهُ فِىٓ أَوْلَٰدِكُمْ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ ٱلْأُنثَيَيْنِ فَإِن كُنَّ نِسَآءً فَوْقَ ٱثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ وَإِن كَانَتْ وَٰحِدَةً فَلَهَا ٱلنِّصْفُ وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وَٰحِدٍ مِّنْهُمَا ٱلسُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِن كَانَ لَهُۥ وَلَدٌ فَإِن لَّمْ يَكُن لَّهُۥ وَلَدٌ وَوَرِثَهُۥٓ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ ٱلثُّلُثُ فَإِن كَانَ لَهُۥٓ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ ٱلسُّدُسُ مِنۢ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِى بِهَآ أَوْ دَيْنٍ ءَابَآؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا فَرِيضَةً مِّنَ ٱللَّهِ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.


Wallahua'lam..Moga perkongsian ini bermanfaat buat kita semua. Moga pengakhiran kita semua baik, begitu juga tentang pengurusan harta selepas kematian.