Xi'an bukan bandar biasa. Sejarah dia lebih 3,100 tahun, dan 13 dinasti China pernah jadikan bandar ni ibu kota. Dulu nama dia Chang'an, titik permulaan Jalan Sutera yang menghubungkan China dengan dunia luar.
Jom aku kongsi 7 perkara yang buat aku jatuh cinta dengan Xi'an, siap dengan fakta menarik dan tips untuk korang yang nak pergi.
1. Kota Dinasti Tang yang menyala waktu malam
Bandar moden ni masih bergaya macam zaman Dinasti Tang (618–907). Bumbung melengkung, ukiran kayu bertingkat dan tanglung merah ada di mana-mana. Waktu malam, semua bangunan menyala keemasan.
Mercu tanda paling terkenal ialah Big Wild Goose Pagoda, yang mula dibina pada tahun 652 dan tingginya kira-kira 64 meter. Kawasan dataran berdekatan pula ada pertunjukan laser yang memancar ke langit. Memang cantik untuk ambil gambar dan video.
Tips: Datang selepas maghrib. Lampu dan laser baru nampak paling cantik bila langit dah gelap.
2. Masuk "drama Tang" di Chang'an 12 Hours
Pernah tengok C-drama zaman Tang dan teringin nak masuk dalam set dia? Di Xi'an, boleh. Jalan bertema Chang'an 12 Hours dihias macam kota Chang'an lama, lengkap dengan lorong merah, tanglung dan kedai gaya klasik.
Yang paling seronok, pelakon berpakaian Hanfu zaman Tang berjalan di sekitar kawasan ni dan sudi bergambar dengan pengunjung. Korang pun boleh sewa Hanfu dan bergambar sendiri.
Tips: Bawa kamera dengan lensa sudut lebar. Ruang dalam memang luas, dekorasi dia penuh dari lantai sampai siling.
3. The Great Qin: teater yang rasa macam filem live
Kalau ada satu persembahan yang wajib tengok di Xi'an, inilah dia. The Great Qin mengisahkan Dinasti Qin (221–206 SM), zaman China mula disatukan buat pertama kali.
Yang buat dia lain dari teater biasa: kerusi penonton bergerak di atas landasan melalui 6 babak, macam kamera filem yang berjalan. Persembahan ni lebih kurang 80 minit. Cerita dia bukan pasal maharaja saja, tapi juga askar, tukang dan rakyat biasa.
Tips: Tiket boleh beli melalui Trip.com . Datang awal, sebab pintu ditutup 15 minit selepas persembahan bermula.
4. Terracotta Warriors: "tentera" yang berkawal 2,000 tahun
Inilah sebab ramai orang datang ke Xi'an. Terracotta Warriors ialah barisan patung askar tanah liat yang ditanam bersama Maharaja Qin Shi Huang, maharaja pertama China, untuk menjaga baginda di alam selepas mati.
Yang paling mengejutkan, semua ni ditemui secara kebetulan. Pada Mac 1974, sekumpulan petani sedang menggali perigi bila terjumpa serpihan tanah liat. Hasil penggalian, dianggarkan ada kira-kira 8,000 patung askar, siap dengan kuda dan kereta perang. Kawasan ni diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1987.
Bila berdiri di depan Pit 1, barulah terasa betapa besarnya. Barisan askar memanjang jauh di bawah bumbung besi yang melengkung.
Tips: Lokasi muzium ni di Lintong, di luar bandar Xi'an. Peruntukkan sekurang-kurangnya setengah hari, dan pakai kasut yang selesa sebab banyak berjalan.
5. Mount Hua: gunung berkabus macam dunia khayalan
Mount Hua (Huashan) terletak kira-kira 120 km ke timur Xi'an, berdekatan bandar Huayin. Gunung ni ada 5 puncak utama, dan yang paling tinggi ialah Puncak Selatan, setinggi 2,154.9 meter.
Masa kami sampai, hujan renyai dan kabus tebal menyelubungi hutan. Pokok-pokok tinggi hilang dalam kabus, dan suasana dia memang rasa macam masuk dunia khayalan.
Tips:
- Naik kereta kabel untuk jimat tenaga, kecuali korang memang nak mendaki.
- Bawa baju hujan dan pakaian tebal. Atas gunung jauh lebih sejuk dari bandar.
- Puncak Timur ialah tempat terbaik untuk tengok matahari terbit.
6. Muslim Quarter: syurga makanan halal di Xi'an
Ni bahagian yang paling buat aku lega. Di tengah bandar Xi'an ada Muslim Quarter, kawasan komuniti Muslim Hui yang penuh dengan gerai dan kedai makan. Peniaga bertopi putih, bau rempah dan roti bakar memenuhi jalan, terutama waktu malam.
Di sini juga terletaknya Masjid Agung Xi'an. Menurut catatan pada batu bersurat di dalamnya, masjid ni asalnya dibina pada tahun 742, zaman Dinasti Tang. Kompleks dia luas, lebih 12,000 meter persegi, dengan seni bina macam istana Cina.
Makanan wajib cuba:
- Paomo: roti yang dicarik dan direndam dalam sup daging kambing atau lembu. Kedai Lao Mi Jia antara yang terkenal.
- Roujiamo: roti berinti daging, sering digelar "burger Cina".
- Biangbiang mian: mi lebar yang tebal dan kenyal.
Tips: Pastikan kedai ada tanda halal (清真, qingzhen) sebelum makan.
7. Tips sebelum ke Xi'an (untuk rakyat Malaysia)
Perkara | Info |
|---|---|
Visa | Bebas visa sehingga 30 hari untuk pemegang pasport Malaysia (semak semula sebelum terbang) |
Pasport | Sah sekurang-kurangnya 6 bulan dari tarikh masuk |
Mata wang | Renminbi (CNY) |
Bayaran | Pasang Alipay atau WeChat Pay dan sambungkan kad bank sebelum pergi |
Penginapan | Pilih hotel dekat Big Wild Goose Pagoda atau Bell Tower supaya senang ke tempat menarik |
Pakaian | Bawa kot dan baju hujan, terutama kalau nak naik Mount Hua |
Nak pergi tanpa susah fikir itinerari? Ambil pakej tour supaya tiket, pengangkutan dan hotel semua dah diuruskan.
Soalan lazim tentang Xi'an
Apa tempat menarik di Xi'an yang wajib pergi?
Terracotta Warriors, Big Wild Goose Pagoda, persembahan The Great Qin, Muslim Quarter dan Mount Hua.
Ada makanan halal di Xi'an?
Ada, dan banyak. Muslim Quarter di tengah bandar dipenuhi gerai dan kedai makan milik komuniti Muslim Hui. Cari tanda 清真 (qingzhen) untuk pastikan halal.
Rakyat Malaysia perlu visa ke China?
Tidak untuk lawatan sehingga 30 hari, asalkan pasport sah sekurang-kurangnya 6 bulan. Semak semula peraturan terkini sebelum terbang.
Berapa jauh Mount Hua dari Xi'an?
Kira-kira 120 km ke timur bandar Xi'an.
Berapa hari sesuai untuk bercuti di Xi'an?
Sekurang-kurangnya 3 hingga 4 hari: sehari untuk Terracotta Warriors, sehari untuk Mount Hua, dan selebihnya untuk bandar, persembahan dan makan-makan.
Sampai jumpa lagi, Xi'an
Xi'an ni bandar yang buat kita rasa macam berjalan merentas masa. Pagi berdiri depan tentera berusia 2,000 tahun, petang bermandi kabus di gunung, malam makan paomo di Muslim Quarter. Kalau tak ke sini, memang aku tak tahu semua ni wujud.
Kalau artikel ni membantu, save dan share dengan kawan yang tengah rancang trip ke China. Ikuti perjalanan aku di TikTok, Instagram dan Threads @bebelancikmin untuk video penuh trip Xi'an!








0 Comments