Minggu lepas aku ke Pulau Lingga, Indonesia. Kalau korang pernah belajar sejarah sudah pasti korang pernah dengar tentang sejarah kesultanan Riau-Lingga. Dan ye..aku berpeluang menjejakkan kaki ke Pulau Lingga yang menjadi sebutan dalam hikayat sejarah Melayu lama yang terletak di Kepulau Riau, Indonesia.


Jujur, aku ke sana setelah mendapat jemputan untuk sama-sama memeriahkan acara 'Nongsa Neptune Regatta Sail to Lingga 2019' iaitu sebuah perlumbaan kapal layar yang terbesar di dunia dan satu-satunya perlumbaan perlayaran yang melintasi khatulistiwa dan Pulau Batu Belubang telah dipilih sebagai tempat perasmian acara gilang gemilang ini.

Sedikit Tentang Nongsa Neptune Regatta Sail to Lingga 2019

Seperti yang aku terangkan di atas, Nongsa Neptune Regatta Sail to Lingga 2019 adalah sebuah perlumbaan kapal layar terbesar di dunia dan satu-satunya perlumbaan pelayaran yang melintasi khatulistiwa. 



Perlumbaan pelayaran ini sepenuhnya merentasi perairan Indonesia yang bermula di Nongsa Point Marina dan juga tamat di Nongsa Point Marina.

Gambar kredit : Yazid Izzat

Bagi memeriahkan acara ini, media dari Indonesia, Singapura dan Malaysia turut diundang bagi membuat liputan. Dan acara perasmian Nongsa Neptune Regatta Sail to Lingga 2019 telah diadakan di Pulau Batu Belubang.

Menariknya, para tetamu disambut dengan paluan kompang, pencak silat Melayu serta tarian Melayu lama. Para tetamu kehormat pula disarungkan tanjak Melayu sebagai tanda hormat dan penghargaan. 





Pulau Batu Belubang..Kampung Terbersih Yang Pernah Aku Sampai

Perjalanan dari Batam ke Pulau Lingga mengambil masa kira-kira 4 jam menaiki feri. Pulau Lingga terbahagi kepada 9 kecamatan, 7 kelurahan dan 74 desa.

Tempat pertama yang kami tuju di Pulau Lingga ialah Pulau Batu Belubang. Secara detailnya perjalanan kami dari Batam menuju ke Pulau Batu Belubang ni..dari Batam Centre kami menuju ke Terminal Feri Teluk Punggur, dari Teluk Punggur kami mengambil masa kira-kira 4 jam perjalanan ke Dermaga Cempa Pasir Panjang dengan tiket ferinya berharga 245,000 Rupiah.

Manakala dari Dermaga Cempa Pasir Panjang, kami mengambil masa kira-kira setengah jam pula untuk sampai ke Pulau Batu Belubang. Walau agak penat namun berbaloi sebab Pulau Batu Belubang ni cantik sangat. Bukan takat cantik malah bersih!

Acara pertama kami sesampai di Pulau Batu Belubang ni dah tentulah makan! ye..acara yang sangat dinantikan setelah menghabiskan berjam-jam masa dalam perjalanan. Kami dijamu dengan hidangan masakan penduduk kampung yang  bergotong royong memasak untuk kami. Terharu sangat sebab walaupun mereka hidup dalam penuh kesederhanaan tapi tetamu sangat diraikan.

Ikan ayam-ayam atau ikan jebong mengikut istilah penduduk tempatan. Sedap sangat! 
Seterusnya kami dibawa pula untuk mengelilingi kampung setelah berehat seketika. Sungguh aku kagum dengan kampung ni ialah keadaannya sangat bersih! Tak ada sehelai daun pun di tanah! Pendek kata memang bersih sangat lah kampung ni. 


Melihat sekeliling, kampung Pulau Batu Belubang ni rata-rata penduduknya masih menggunakan perigi untuk aktiviti membasuh dan mandi manda. Berada di sini terasa agak 'klasik' namun sangat mendamaikan.


Tak sah kalau ke Pulau Batu Belubang ni jika tak ke Gua Batu Belubang yang menjadi simbolik nama Pulau Batu Belubang. Jadi, kami turut dibawa ke Gua Batu Belubang oleh penduduk kampung. Untuk sampai ke sini kami terpaksa 'hiking' manja tapi sangat berbaloi sebab kami dijamu dengan pemandangan pulau yang sangat-sangat cantik..Subhanallah.



Gua Batu Belubang
Oleh sebab Pulau Batu Belubang ni cantik sangat, nah! aku hadiahkan korang 1 video..


Menuju ke Pulau Pancur

Hari kedua kami meneruskan perjalanan menerokai Pulau Lingga. Kali ini kami menuju ke Pulau Pancur, yang terletak di utara Lingga. Di Pulau Pancur kami ditempatkan di sebuah hotel kecil iaitu satu-satunya hotel yang terdapat di Pulau Pancur.

Dari Pulau Batu Belubang kami menaiki feri hingga ke Perlabuhan Tenam sebelum kami diambil dengan bas. Tempat pertama yang kami tuju sebelum sampai ke Pulau Pancur ialah tempat yang menjadi tumpuan para pelancong iaitu Air Terjun Resun.

Agak jauh juga sebenarnya untuk kami sampai ke Air Terjun Resun, perjalanan menaiki bas dari Pelabuhan Tenam mengambil masa kira-kira 1 jam. Tapi Air Terjun Resun ni memang cantik dan menarik, airnya pun ya ampunnnn..sejuk dan nyaman sangat!

Sempat bergambar kenangan di Air Terjun Resun

Dari Air Terjun Resun barulah kami meneruskan perjalanan ke Pulau Pancur, sebuah petempatan kecil yang dihuni oleh masyarakat berbangsa Melayu dan Cina. Oleh sebab kedatangan kami pada Tahun Baru Cina maka kami turut diundang bagi memeriahkan acara sambuatan Tahun Baru Cina yang di panggil Sambutan Tahun Imlek dalam bahasa Indonesia.

Pemandangan waktu malam di Pulau Pancur

Pulau Pandan Jauh ke Tengah, Gunung Daik Bercabang Tiga

Hari ketiga kami di Lingga, Kepulauan Riau..kami dibawa pula ke Pulau Daik. Pulau Daik dikira sebagai 'ibu kota' Pulau Lingga. 

Tempat pertama yang kami tuju adalah Muzium Linggam Cahaya yang banyak menyimpan peninggalan-peninggalan sejarah Melayu lama termasuk peralatan harian, pakaian dan juga tinggalan dari kerajaan Melayu Lingga. 



Bagi yang tak tahu tentang sejarah kesultanan Melayu lama, nah aku kongsikan sedikit petikan dari wikipedia tentang Kesultanan Lingga-Riau.
Kepentingan Lingga bermula sejak kemahkotaan Sultan Mahmud Shah III (Sultan Johor ke-16) pada tahun 1761. Baginda menempatkan ibu kota Riau Lama, Ulu Riau, Bintan ke Daik, Lingga pada tahun 1788. Pemindahan ini dibuat bagi mengurangkan gangguan dari pihak Belanda. Baginda kemudian meminta bantuan saudara jauhnya Raja Ismail, seorang penguasa di Tempasuk, Kepulauan Borneo (kini Sabah) untuk merancang kempen melawan penjajah Belanda secara sistematik. Kempen ini telah berjaya dan Sultan menghadiahkan hadiah khusus buat mereka.
Riau-Lingga pada awalnya merupakan sebahagian dari Kesultanan Melaka, dan kemudian Kesultanan Johor-Riau. Pada 1812 Sultan Mahmud Shah III wafat. Dalam sengketa perebutan kuasa yang timbul, pihak Inggeris mendukung putera tertua, Tengku Hussain kerana mempunyai muslihatnya tersendiri, sedangkan pihak Belanda mendukung adik tirinya, Tengku Abdul Rahman. Kesan dari Perjanjian Inggeris-Belanda pada 1824 perluasan kuasa Kesultanan Johor-Riau menjadi dua, di mana Johor Moden berada di bawah pengaruh Inggeris sedangkan Riau-Lingga berada di dalam pengaruh Belanda. Tengku Abdul Rahman ditabalkan menjadi Sultan Lingga-Riau dengan gelaran Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah.

Pada 7 Oktober 1857 pemerintah Hindia-Belanda menurunkan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah dari takhtanya. Pada saat itu Sultan sedang bersemayam di Singapura. Sebagai penggantinya diangkat bapa saudaranya, yang menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah.
Jawatan (Yang Dipertuan Muda) yang biasanya dipegang oleh bangsawan dari keturunan Bugis disatukan dengan jabatan raja oleh Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah pada 1899. Kerana tidak ingin menandatangani kontrak yang membatasi kekuasaannya, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah meninggalkan Pulau Penyengat dan berhijrah ke Singapura. Pemerintah Hindia Belanda menurunkan Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah dari takhtanya 10 Februari 1911 serta memecat Tengku Mahkotanya, Tengku Besar Umar Muazzam Shah. Mereka akhirnya meninggalkan Riau-Lingga buat selama-lamanya dan bersemayam sebagai kerabat bangsawan di Singapura.
Itu sedikit petikan yang aku ambil dari Wikipedia sebagai rujukan khas untuk mereka yang agak samar-samar tentang sejarah Lingga.
Aku peminat sejarah, jadi aku rasa sangat bersyukur dan teruja bila dapat menjejakkan kaki ke tanah yang penuh sejarah ini. Tambah teruja bila kami dibawa ke Objek Wisata Situs Istana Damnah. Istana Damnah ini adalah tapak asal istana yang telah dipindahkan oleh Sultan Mahmud Shah III dari Bintan ke Daik. Masih terdapat lagi tinggalan yang kukuh hingga ke hari ini, namun begitu di sebelah tapak tinggalan Istana Damnah..kerajaan Indonesia telah membangunkan sebuah replika Istana Damnah bagi memperingati serta membuka ruang kepada para pelancong untuk melihat sendiri tinggalan Istana Damnah ini.





Di bahagian belakang replika Istana Damnah pula terdapat 'Wisata Pemandian Lubuk Papan' yang dipercayai menjadi tempat pemandian puteri zaman silam. Tempat ini masih dijaga rapi hingga kini.


Oh ye! Sebelum aku terlupa, sebenarnya yang paling aku teruja sepanjang berada di Pulau Daik ini ialah dapat melihat sendiri kewujudan 'Gunung Daik' yang selalu meniti di bibir kita bila berpantun. Tahu tak korang yang Gunung Daik seperti yang disebut-sebut dalam pantun Melayu itu benar-benar wujud?
'Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi baik dikenang juga.'
Gunung Daik yang dimaksudkan memang jelas kelihatan terutama dari Muzium Linggam Cahaya. Namun kini Gunung Daik yang dikatakan bercabang tiga cuma kelihatan 2 sahaja cabangnya. Menurut cerita dan mitos, Gunung Daik sememangnya bercabang 3 kerana terdapat 3 puncak iaitu Daik, Pejantan dan Cindai. Namun puncak Cindai telah pun patah dan menurut cerita sebelum puncak Cindai patah, setiap hari akan kedengaran suara tangisan dari puncak Cindai dan suara tangisan itu hilang sebaik puncak Cindai patah sebab itulah puncak Cindai kini lebih dikenali sebagai puncak Cindai Menangis.
Gunung yang nampak bercabang dua kecil dibelakang itulah Gunung Daik


Itulah serba sedikit yang aku dapat kongsikan dengan korang tentang percutian aku di Pulau Lingga, Kepulauan Riau, Indonesia. 

Apa yang aku boleh ceritakan, pemandangan di Pulau Lingga ni memang cantik sangat. Bayangkan ketika kami berjalan di sekitar kampung di Pulau Daik ni pun sempat aku merakam gambar pemandangan yang pada aku sangat indah. Andai kata Pulau Daik ni dekat Malaysia je rasanya teringin juga aku nak buat resort kat sini satu! hahaha..




Penginapan kami di Pulau Daik ni ialah Hotel Pesona Lingga. Hotel ini adalah hotel yang terbesar di Pulau Lingga tau! Dan di sini dapatlah juga kami berhubung dengan dunia luar hehehe..sebab sepanjang berada di Pulau Lingga ni memang agak sukar untuk dapatkan wifi. Apa pun aku enjoy dengan percutian yang sebegini sebab sedikit sebanyak dapat menginsafkan aku!