Natrah : Kisah Lara 3 Jiwa. Part 4

by - November 26, 2017

Berikutan pernikahan antara Natrah dan Mansor Adabi berlangsung di Singapura, sebuah negeri di bawahan jajahan British maka kes pernikahan ini menjadi isu yang besar kerana Natrah masih dibawah umur.

Seperti yang diketahui umum, Belanda yang berniat jahat mula mengambil kesempatan. Ibu bapa kandung Natrah mengambil tindakan untuk mendapatkan hak penjagaan semula ke atas Natrah yang sebelum ini mereka gagal mendapatkannya.



Pernikahan yang berlangsung memberi kesan yang besar. Media mula sengaja membesarkan cerita. Media barat mula mengecam tindakan Mansor yang mengahwini seorang perempuan yang masih dibawah umur. Pelbagai gelaran diberikan kepada Mansor Adabi.

Ketika Perang Dunia Kedua dahulu, Singapura dan Tanah Melayu disifatkan sebagai negeri yang tidak bertamadun maka semakin hebat kecaman dari media barat. Malah Natrah digelar sebagai ‘Jungle Girl’. Fitnah media barat semakin hebat hingga menyebarkan cerita kononnya Natrah dibesarkan di dalam hutan dan tidak bertamadun.

Berita ini menyemarakkan rasa benci orang Belanda. Mereka sehabis mungkin berusaha untuk mendapatkan Natrah walaupun Natrah sendiri memilih untuk terus tinggal di Tanah Melayu dan menganut Islam sebagai agamanya.

Ketika itu ramai orang perseorangan dan pertubuhan barat menyokong keluarga kandung Natrah. Ada yang menawarkan untuk menculik Natrah seperti yang dilapotkan oleh akhbar Daily Express yang bertarikh 26 Ogos 1950. Malah ada seorang juruterbang menawarkan kapal terbangnya untuk membawa Natrah ke Belanda.

Pesanan Natrah kepada Ibu Bapa Kandungnya dan Temuramah dengan Mansor Adabi

Ketika akhbar Belanda dan Britain rakus melemparkan pelbagai tuduhan negatif dan berunsurbfitnah atas perkahwinan Natrah-Mansor, seorang penulis bebas Belanda, John Thiesen Jr. memberi liputan yang lebih positif dan berbeza daripada media-media barat.

John Thiese Jr. berjaya membawa rakaman suara Natrah dan Mansor Adabi kepada masyarakat Belanda. Menurut Thiesen beliau ingin memperbetulkan tanggapan kononnya Natrah dipaksa berkahwin oleh Che Aminah. Thiesen berkata “ Saya telah merakamkan suara Mansor dan saya ingin menunjukkan bahawa suara itu adalah suara seorang lelaki yang pendiam dan terpelajar yang tahu apa yang dilakukannya.”

Pita rakaman itu memaparkan suara sebenar Natrah dalam bahasa Melayu sepenuhnya yang ditujukan kepada ibunya.

“Yang diingati Hertogh.. Saya sedar emak masih lagi berusaha bersungguh-sungguh untuk memisahkan saya daripada emak saya Aminah dan suami saya Mansor. Tetapi emak tidak akan berjaya. Saya benar-benar menyayangi Aminah. Saya sungguh kecewa yang emak dan kerajaan Belanda cuba mencemarkan nama baik emak saya Aminah. Itu amat kejam. Dia bukannya seorang amah seperti yang emak dan akhbar-akhbar Belanda fitnah.

Tidak ingatkah emak dialah yang menjaga kita semua semasa perang Jepun dahulu. Kalau tidak kita semua mungkin mati kelaparan.

Semua orang tahu tindak-tanduk emak itu tidak mempunyai apa-apa perasaan. Ia adalah satu usaha yang tidak berperikemanusiaan untuk memisahkan kami berdua.

Saya berasa malu bila mengetahui yang emak tidak akan menyerah kalah untuk mendapatkan saya kembali. Tiga bulan lamanya saya menangis di Rumah Kebajikan Masyarakat. Emak saya Aminah juga turut menangis sepanjang dugaan itu dan ini telah mengganggu kesihatannya.

Jika benarlah emak ibu yang penyayang dan penganut Kristian yang baik, kenapakah emak tidak menunjukkan kelakuan yang baik dan berperikemanusiaan dalam hal ini?

Tolonglah jangan ganggu kami lagi. Saya bahagia tinggal dengan suami saya Mansor. Dia berpelajaran dan baik orangnya. Dia lebih baik daripada orang kebanyakan. Dia seorang guru sekolah rendah dan datang dari keluarga yang disegani.

Orang-orang di sini mungkin kulitnya berwarna dan bukan berkulit putih, tetapi tingkah laku mereka amatlah mulia sekali.

Suami saya mengajar saya bahasa Inggeris dan bahasa Melayu untuk membimbing saya menjadi pandai. Saya tidak memasak kerana emak angkat saya Aminah membuat semuanya itu untuk saya dan suami saya.

Saya gembira dengan keluarga yang saya sayangi ini. Saya menghormati emak, ayah juga keluarga. Tolong sampaikan salam saya kepada semua.”

Rakaman suara Mansor pula di dalam bahasa Inggeris :

“Saya sekarang bahagia. Isteri saya dan saya bahagia sekali, tetapi kami sedih terhadap sikap akhbar-akhbar dan kerajaan Belanda yang memutarbelitkan berita-berita mengenai kami. Semua orang dalam dunia ini inginkan kebahagiaan dan begitu jugalah harapan kami.

Saya menyeru kepada orang-orang di Belanda dan Eropah, sudah sampai masanya perbezaan warna kulit dan bangsa dihapuskan. Di Tanah Melayu, kami tinggal di sebuah negara kosmopolitan.

Perkahwinan campur lazim berlaku dan tidak ada sebab mengapa individu tidak boleh memilih pasangan hidup sendiri, untuk diri mereka sendiri, jika pasangan yang hendak mereka kahwini itu daripada berlainan warna atau kepercayaan yang berbeza.

Kami masih lagi muda. Sekiranya kami bernasib baik dan mempunyai kelapangan dan peluang kami akan datang ke Belanda dan menziarahi keluarga Hertogh.”

Namun akhbar De Telegraaf membidas isi kandungan pita rakaman suara Natrah-Mansor dengan mengatakan “Kami tidak mempertikaikan Mansor adalah seorang manusia yang bertamadun dan berpelajaran. Tetapi ini tidak bermakna dia mempunyai hak untuk mengahwini seorang budak perempuan berumur 13 tahun.”

Jika diteliti rakaman Natrah dan Mansor tersebut, boleh dibayangkan bagaimana mereka menyayangi antara satu sama lain tanpa sebarang paksaan. Cinta mereka benar tulus dan ikhlas. Begitu juga tentang perasaan Natrah terhadap ibu angkatnya Aminah yang sudah dianggap sebagai ibu kandung sendiri. Kasihnya terhadap Che Aminah tidak berbelah bahagi hingga ke akhir hayatnya.

You May Also Like

2 comments