Pengenalan: Jom Terokai Xi'an, Bandar Bersejarah China!
Kalau korang sedang merancang percutian ke China, apa kata masukkan Xi'an dalam senarai destinasi yang wajib dikunjungi?
Terletak di wilayah Shaanxi, Xi'an merupakan antara bandar tertua di China yang pernah menjadi pusat pemerintahan beberapa dinasti besar, termasuk Dinasti Qin dan Dinasti Tang. Bandar ini menyimpan pelbagai khazanah sejarah, seni bina klasik, warisan budaya serta pengalaman gastronomi yang cukup menarik.
Dalam perjalanan selama 4 hari 3 malam (4H3M) di Xi'an, aku berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan yang mengagumkan, meneroka keindahan Mount Hua, melihat sendiri keunikan ribuan patung Terracotta Warriors dan menikmati pelbagai hidangan tempatan di restoran halal.
Menariknya, Xi'an juga mempunyai komuniti Muslim yang besar. Jadi, untuk korang yang mencari destinasi percutian mesra Muslim di China, bandar ini antara pilihan yang boleh dipertimbangkan.
Dalam artikel kali ini, aku kongsikan itinerary lengkap 4H3M di Xi'an berdasarkan pengalaman perjalanan aku sendiri. Boleh jadikan panduan kalau korang merancang untuk ke sini nanti!
Sepanjang perjalanan ini, aku menggunakan Trip.com untuk membuat tempahan penginapan, aktiviti dan keperluan perjalanan.
Disclosure: Artikel ini merupakan hasil kerjasama dengan Trip.com. Walau bagaimanapun, semua perkongsian dan pendapat adalah berdasarkan pengalaman peribadi aku sepanjang berada di Xi'an.
HARI 1: Kuala Lumpur ke Xi'an, China
Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Xi'an
Pengembaraan kami bermula dengan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Xi'an menggunakan China Southern Airlines.
Setibanya di Xi'an, kami terus memulakan aktiviti dengan menikmati makan malam sebelum meneroka suasana malam bandar bersejarah ini.
Makan Malam di Hamarkan – Restoran Halal di Xi'an
Destinasi pertama kami ialah Hamarkan, sebuah restoran yang menawarkan hidangan halal di Xi'an.
Sejujurnya, aku cukup tertarik dengan dekorasi dalamannya yang sangat cantik dan mempunyai sentuhan klasik. Suasana restoran pun selesa, sesuai untuk makan bersama keluarga atau rakan-rakan.
Antara hidangan yang kami cuba termasuk ikan bakar, kepak ayam yang dihidangkan dalam sangkar kecil dan roti bakar yang cukup menyelerakan.
Selepas perjalanan jauh dari Malaysia, memang nikmat dapat menikmati hidangan panas sebelum meneruskan aktiviti malam.
Grand Tang Mall – Menikmati Keindahan Xi'an Pada Waktu Malam
Grand Tang Mall menjadi destinasi seterusnya.
Kalau korang suka suasana bandar yang meriah dengan seni bina klasik, tempat ini memang menarik untuk dikunjungi. Grand Tang Mall menampilkan suasana yang diinspirasikan daripada kegemilangan Dinasti Tang, lengkap dengan bangunan bercahaya keemasan dan persembahan hiburan.
Pada waktu malam, kawasan ini bertukar menjadi cukup meriah dengan pencahayaan bangunan, pertunjukan air pancut dan kesan cahaya laser.
Ramai pengunjung turut datang ke sini dengan mengenakan pakaian tradisional Dinasti Tang untuk bergambar.
Memang terasa seperti dibawa kembali ke zaman kegemilangan China suatu ketika dahulu!
Penginapan: Wyndham Grand Xi'an South
Untuk malam pertama, kami menginap di Wyndham Grand Xi'an South.
Hotel ini mempunyai bilik yang luas, katil yang selesa dan kemudahan penginapan yang sesuai untuk berehat selepas seharian berjalan.
HARI 2: Menyelami Sejarah, Budaya dan Persembahan Hebat Xi'an
Hari kedua merupakan antara hari yang paling menarik sepanjang berada di Xi'an kerana kami berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan yang mengangkat sejarah dan kehebatan tamadun China.
Menyaksikan Persembahan Kebudayaan Dinasti Tang
Aktiviti pertama kami ialah menyaksikan persembahan kebudayaan yang mengetengahkan keunikan seni dan tradisi masyarakat China.
Para pelakon tampil dengan busana tradisional yang diinspirasikan daripada Dinasti Tang. Persembahan turut diserikan dengan pelbagai aksi akrobatik, termasuk aksi mengimbangi kerusi yang cukup mendebarkan.
Aku memang suka persembahan sebegini kerana bukan sekadar menghiburkan, tetapi turut memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali warisan seni dan budaya masyarakat tempatan.
Makan Tengah Hari di Restoran Turki
Selepas menyaksikan persembahan, kami menikmati makan tengah hari di sebuah restoran Turki.
Antara hidangan yang disajikan ialah nasi bersama kebab dan pelbagai lauk-pauk yang dihidangkan menggunakan dulang besar untuk dinikmati bersama.
Konsep hidangan begini memang sesuai untuk makan secara berkumpulan. Boleh rasa pelbagai jenis makanan dalam satu hidangan!
THE GREAT QIN – Persembahan Epik Mengimbau Sejarah Dinasti Qin
Ini antara pengalaman yang paling aku nantikan sepanjang berada di Xi'an!
THE GREAT QIN merupakan sebuah persembahan berskala besar yang membawa penonton menyelami sejarah kegemilangan Dinasti Qin melalui gabungan seni persembahan, muzik, pencahayaan, kostum dan teknologi pentas.
Apa yang membuatkan persembahan ini cukup mengagumkan ialah skala pentasnya yang sangat besar. Setiap babak disampaikan dengan visual yang memukau, lengkap dengan kesan khas dan suasana dramatik.
Aku boleh katakan ini antara persembahan pentas paling hebat yang pernah aku saksikan sepanjang hidup!
Bagi korang yang berkunjung ke Xi'an, aku memang sarankan supaya masukkan THE GREAT QIN dalam itinerary. Pengalaman menontonnya memang sukar dilupakan.
Makan Malam: Menikmati Hotpot Halal di Xi'an
Selepas puas menikmati persembahan, kami mengakhiri hari dengan makan malam di sebuah restoran hotpot halal.
Hidangan hotpot disediakan menggunakan periuk tembaga tradisional yang berisi sup panas. Kami kemudian memasukkan hirisan daging nipis, sayur-sayuran dan pelbagai bahan lain untuk dimasak bersama.
Menikmati hotpot panas-panas ketika cuaca sejuk memang satu kombinasi yang cukup sempurna!
HARI 3: Mount Hua, Terracotta Warriors dan Muslim Quarter
Hari ketiga merupakan antara hari paling padat dalam itinerary kami. Kami bakal meneroka keindahan alam semula jadi, menyaksikan peninggalan sejarah dunia dan menutup hari dengan pengalaman gastronomi di kawasan komuniti Muslim Xi'an.
Mount Hua – Gunung Ikonik yang Menawarkan Pemandangan Menakjubkan
Destinasi pertama kami ialah Mount Hua (Huashan), salah sebuah gunung terkenal di China yang terletak di wilayah Shaanxi.
Mount Hua terkenal dengan bentuk muka buminya yang berbatu, laluan pendakian yang mencabar serta pemandangan pergunungan yang cukup mengagumkan.
Ketika kunjungan kami, cuaca sudah mula memasuki musim sejuk. Kawasan gunung diselubungi kabus tebal, disertai hujan renyai-renyai dan suhu yang agak sejuk.
Pemandangan ketika itu memang memberikan suasana yang berbeza, seolah-olah berada dalam dunia fantasi!
Kalau korang bercadang untuk mengunjungi Mount Hua, aku sarankan supaya membawa pakaian tebal, kasut yang sesuai dan baju hujan. Cuaca di kawasan pergunungan boleh berubah dengan cepat, jadi persediaan memang penting.
Terracotta Warriors – Melihat Sendiri Ribuan Tentera Tanah Liat
Selepas meneroka Mount Hua, kami meneruskan perjalanan ke salah satu tapak arkeologi paling terkenal di dunia, iaitu Terracotta Warriors.
Terletak di kawasan makam Maharaja Qin Shi Huang, tapak bersejarah ini menempatkan ribuan patung askar dan kuda yang diperbuat daripada tanah liat.
Apa yang menjadikan penemuan ini begitu istimewa ialah setiap patung mempunyai perincian wajah, gaya rambut dan pakaian yang berbeza.
Patung-patung ini dihasilkan lebih 2,000 tahun dahulu sebagai sebahagian daripada kompleks makam Maharaja Qin Shi Huang, pemerintah yang berjaya menyatukan China buat pertama kali pada tahun 221 SM.
Berdiri di hadapan ribuan patung tentera ini memang memberikan pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Melihat sendiri hasil seni dan kejuruteraan masyarakat China purba membuatkan aku lebih menghargai kehebatan tamadun mereka.
Tidak hairanlah Terracotta Warriors menjadi antara tarikan sejarah paling ikonik di China dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Makan Malam di Huifang Dapaidang (回坊大牌档)
Selepas seharian meneroka destinasi bersejarah, kami menikmati makan malam di Huifang Dapaidang (回坊大牌档).
Restoran ini menyajikan pelbagai hidangan tempatan yang dihidangkan di atas meja bulat untuk dinikmati bersama-sama.
Pelbagai jenis lauk dan makanan tradisional disediakan. Memang sesuai untuk korang yang ingin mencuba lebih banyak variasi masakan tempatan Xi'an.
Namun, perkara yang paling aku ingat pada malam itu bukanlah makanan semata-mata.
Tour guide kami telah membuat satu kejutan dengan menghadiahkan cenderamata Terracotta Warriors yang dibelinya menggunakan duit sendiri.
Walaupun nampak seperti hadiah kecil, aku cukup menghargai ingatan dan keikhlasan tersebut. Antara kenangan manis yang akan aku ingat sepanjang perjalanan di Xi'an.
Muslim Quarter – Syurga Makanan Halal di Xi'an
Selepas makan malam, kami mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di Muslim Quarter (Huimin Street).
Kawasan ini merupakan antara lokasi paling terkenal di Xi'an, khususnya bagi pengunjung yang ingin mengenali budaya masyarakat Muslim tempatan dan menikmati makanan tradisional.
Sepanjang jalan, korang akan menemui pelbagai gerai yang menjual makanan, snek dan minuman tempatan.
Antara yang menarik perhatian aku ialah buah delima segar, kek kesemak, pelbagai jenis kekacang, pau kukus dan minuman tradisional.
Selain menikmati makanan, Muslim Quarter juga merupakan tempat yang sesuai untuk membeli ole-ole dan cenderamata sebelum pulang ke Malaysia.
Bagi pelancong Muslim, kawasan ini memang menarik untuk diterokai kerana pengaruh budaya masyarakat Muslim Hui begitu ketara dalam kehidupan dan gastronomi tempatan.
HARI 4: Selamat Tinggal Xi'an, China!
Hari keempat menandakan berakhirnya pengembaraan kami di Xi'an.
Selepas menikmati sarapan dan membuat persiapan untuk pulang, kami bergerak ke lapangan terbang bagi penerbangan kembali ke Malaysia.
Walaupun hanya 4 hari 3 malam, terlalu banyak pengalaman menarik yang berjaya dikumpulkan sepanjang berada di sini.
Daripada menikmati keindahan seni bina Dinasti Tang, menyaksikan persembahan THE GREAT QIN, meneroka Mount Hua sehinggalah melihat sendiri kehebatan Terracotta Warriors.
Belum lagi pengalaman menikmati pelbagai makanan halal dan mengenali budaya masyarakat Muslim di Xi'an.
Satu perjalanan yang cukup bermakna dan pastinya membuatkan aku teringin untuk kembali ke China suatu hari nanti.
Sampai jumpa lagi, Xi'an!
Tips Penting Sebelum Bercuti ke Xi'an, China
Kalau korang bercadang untuk mengikuti itinerary 4H3M seperti ini, berikut beberapa tips yang boleh dijadikan panduan:
1. Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk lawatan singkat
Pemegang pasport biasa Malaysia boleh memasuki China tanpa visa untuk tujuan lawatan sehingga 30 hari bagi setiap kemasukan, tertakluk kepada syarat kemasukan semasa.
2. Bawa pakaian mengikut musim
Cuaca di Xi'an boleh berubah mengikut musim. Jika bercadang mengunjungi Mount Hua, pastikan korang membawa jaket tebal, kasut yang sesuai dan baju hujan.
3. Makanan halal mudah ditemui
Xi'an mempunyai komuniti Muslim yang besar, khususnya masyarakat Hui. Korang boleh meneroka Muslim Quarter untuk mencari pelbagai makanan tempatan. Walau bagaimanapun, sentiasa semak status halal dan bahan makanan di setiap premis.
4. Tempah tiket tarikan lebih awal
Tarikan popular seperti THE GREAT QIN, persembahan kebudayaan, Mount Hua dan Terracotta Warriors











0 Comments