Review Filem | Incantation

Incantation 
Zhou 
Country of origin _ Taiwan
Dir : Kevin Ko , Yefri Zuniga


Suka atau tidak penonton terhadap sesebuah filem terletak kepada penilaian masing-masing. Jika ditanya sedap atau tidak filem yang sudah ditonton,  jujur saya katakan susah untuk saya menjawabnya. Jika seronok bagi saya mungkin tidak seronok bagi anda. Jika best bagi anda mungkin mengantuk bagi saya. Penerimaan terhadap sesebuah filem itu berbeza mengikut kamus tontonan dalam diri penonton itu sendiri.
 

Seram atau tidak Incantation bergantung kepada individu. Maka kayu ukur seram itu terletak kepada personaliti dan pengalaman hidup yang mungkin pernah mengalami misteri dan juga keturunan. Jika sudah selalu menonton filem bergenre seram, maka seram langsung tiada di Incantation. Jika jarang menonton filem bergenre seperti ini maka seram teramat seram sehingga sukar memejam mata dan memekakkan telinga. 


Incantation membawa kita ke kehidupan Li Ruo Nan ibu tunggal kepada budak perempuan bernama Chen Duo Duo yang baru berumur 6 tahun. Ruo Nan membawa anaknya tinggal bersamanya semula setelah beliau pulih dari sakit mental. Beliau merakam kehidupan hariannya dengan anaknya itu sebagai bukti yang beliau sudah sihat dan boleh hidup seperti orang normal yang lain. 


Tetapi hari pertama di rumah itu Duo Duo sudah mula diganggu entiti mistik yang dipanggilnya orang jahat. Tetapi air muka ibunya yang sedikit kacau dan sedikit tenang mengacau penonton. Maka babak imbas semula 6 tahun yang lalu memberi jawapan kepada kesulitan yang di alami ibu tunggal ini. 


Li Ruo Nan semasa bujangnya seorang ahli seekers slash solo ambush slash paranormal slash pemburu hantu yang aktif membuat video mencari entiti dan memuat naik ke laman sosial. Li Ruo Nan dan rakannya, Yuan dan teman lelaki Chen Dom pergi ke kampung Dom dan berhasrat untuk merakam keadaan didalam terowong larangan milik keluarga Dom yang memungkinkan mereka menjadi viral dan terkenal. 


Sehingga babak ini saya masih lagi setia dengan Li Ruo Nan. Saya masih meletakkan kepercayaan saya kepada Ruo Nan yang mahu menyelamatkan keadaan dari belenggu hantu dan setan. Tapi semakin lama saya menontonnya dan menyerap kepada jalan ceritanya yang sekejap non linear, sekejap tidak, menjadikan tempo dan kontinuitinya agak janggal , sedikit sebanyak perasaan meyampah mula terbit . Tetapi jikalau saya tidak pernah menonton The Medium terlebih dahulu atau filem seram lain seakan sama maka mungkin Incantation akan jadi juara.


Babak Ketika Yuan dan Dom tetap mahu keluar dan membuka pintu yang telah dikunci itu menjadi penanda aras kenapa filem ini saya katakan try hard. Dan ketika di pintu terowong yang disepak oleh Yuan dan tetap mahu masuk ke dalamnya juga saya labelkan sebagai try hard. Di dalam penduduk kampung tengah sibuk memuja dewa dan ketika Ruo Nan dan budak kecil itu sedang sakit dan Dom melarang masuk ke dalam terowong itu juga, watak Yuan dilihat secara tiba-tiba tetap mahu meneruskan rancangan mereka. Yuan tidak dirasuk atau tidak di dorong oleh apapun untuk tetap melakukannya. Disebabkan sedikit canggung sebab musabab yang kukuh kepada Yuan untuk masuk ke dalam terowong dalam situasi ketika itu kerana jika hanya untuk merakam dan mendapat view yang banyak, maka sesungguhnya derita Li Ruo Nan kurang berkesan untuk  meraih simpati saya. 


Akhirnya saya berdendam dengan Li Ruo Nan, persoalan kenapa beliau menyuruh anaknya menulis nama sebenarnya Chen Le Tung  diatas kertas lukisan dan kenapa doktor psiakiatrinya mati dan makcik yang memberi tangkal itu juga maut  terjawab dalam ego beliau bertarung dengan kuasa jahat dari alam lain. Beliau tertekan dalam melepaskan sumpahan terhadap dirinya dan anaknya sehingga sanggup berbuat apa saja tetapi tindakannya itu tidak murni dan mementingkan diri sendiri. Babak ketika beliau makan roti di tangga hotel walaupun menangis sudah cukup memaparkan pendirian beliau yang mementingkan diri.  Terfikir dari awal kenapalah perempuan ini tidak cuba berubat sehabis-habisnya dengan agamanya atau memberitahu azab seksanya kepada awam supaya ada yang tampil menolongnya. Soalan saya itu dijawab kemas oleh Li Ruo Nan di akhir cerita apabila guru merangkap ayah angkat kepada Duo Duo juga terkorban. Footage Ruo Nan dengan perut memboyot dan berambut panjang menjelaskan segala-galanya. Beliau adalah watak kelabu perempuan yang licik dalam survival mahu meneruskan hidup. 


Jika anda mahu 2jam hidup anda berubah maka Incantation adalah apa yang anda cari. Anda akan berasa seram tetapi dimanakah seram itu datang?  kerana hanya ada 1 jump scare sahaja secara keseluruhannya. Seram tidak datang dari hantu yang  berambut panjang atau hantu pocong dalam filem ini. Berbeza dengan Ming dalam The Medium yang menjadi perantara diantara dewa dan seluruh keluarganya. Ming dirasuk dan melakukan pembunuhan manakala didalam Incantation, Duo Duo hanya menjadi mangsa sumpahan yang terjadi kepada ibu dan bapa kandungnya.


Incantation berlegar dalam watak Ruo Nan yang kelabu dalam kecenderungannya memanipulasi penonton videonya itu. Incantation bijaknya terletak dalam atmosfera seram dalam footage video cctv yang diedit dan disatukan Ruo Nan demi meraih simpati para penonton dan seterusnya kita semua rela hati melafazkan mantera demi untuk menyelamatkan anaknya Duo Duo. Incantation juga wajar diiktiraf dalam keberaniannya memaparkan sisi gelap dewa-dewa agamanya yang kita takkan tahu jika kita tidak menontonnya. Incantation secara keseluruhannya berjaya menjadi antara filem seram terbaik asia kerana naratif yang dibawa dapat memenangi hati khalayak maka hand signal ala Shinobi ini akan diingati oleh semua penontonnya. Dimanakah seram dan takutnya Incantation , mungkin pada tajuk dan sebutan mantera yang diulang-ulang. 


Post a Comment

2 Comments