Pendidikan Awal Kanak-Kanak : Teori & Falsafah Maria Montessori (1870 - 1952) Bahagian 2

Ini adalah sambungan bagi artikel yang bertajuk Pendidikan Awal Kanak-Kanak : Teori & Falsafah Maria Montessori (1870 - 1952) Bahagian 1


Montessori menganggap cara layanan yang tidak sesuai akan menghalang perkembangan sahsiah kanak-kanak. Guru dan ibu bapa perlu membantu kanak-kanak untuk belajar melakukan sendiri aktiviti mengikut pilihan mereka. Apabila kanak-kanak mempunyai pilihan, mereka akan dapat memperkembangkan kemahiran dan kebolehan mereka yang menjadi asas dalam pembelajaran berkesan, autonomi, dan penghargaan kendiri yang positif.


Pendidikan Awal Kanak-Kanak : Teori & Falsafah Maria Montessori (1870 - 1952) Bahagian 2


Cara kanak-kanak memperoleh pengetahuan berbeza daripada orang dewasa. Jika orang dewasa menggunakan pemikiran untuk memperoleh pengetahuan, kanak-kanak pula menggunakan anggota fizikal atau pancaindera mereka. Sejak lahir hingga berumur tiga tahun pemikiran kanak-kanak diistilahkan sebagai unconscious absorbent mind yang diperkembangan melalui penggunaan deria ;


  • Penglihatan
  • Pendengaran 
  • Rasa
  • Bau 
  • Sentuh

Di antara umur 3-6 tahun, kanak-kanak boleh membuat pemilihan daripada maklumat yang diperolehi daripada alam sekitar dengan menggunakan conscious absorbent mind dan dapat mempertingkatkan penggunaan deria  mereka. Pada peringkat ini kanak-kanak sudah boleh menguasai kemahiran seperti ;


  • Membeza
  • Memadan
  • Menggredkan warna


Apa yang dipelajari kanak-kanak bergantung pada orang-orang yang terdapat di sekeliling mereka seperti percakapan, perbuatan dan bagaimana  mereka memberi respons terhadap kanak-kanak. Selain itu pengalaman yang sedia ada dan bahan-bahan yang disediakan untuk kanak-kanak juga menentukan jenis dan kualiti pembelajaran.


Montessori percaya adanya jangka masa sensitif, iaitu waktu kanak-kanak cepat mempelajari beberapa tingkah laku dengan lebih berkesan. Ahli pendidik awal kanak-kanak menamakan masa sensitif ini sebagai kesediaan (readiness). Semua kanak-kanak akan melalui peringkat ini, tetapi jangka masanya berbeza-beza. Guru dan ibu bapa perlu mengesan masa-masa sensitif ini dan menyediakan pengalaman-pengalaman untuk memperkembangkan kemahiran kanak-kanak. Untuk ini guru dan ibu bapa perlu membuat pemerhatian. Banyak pendidik berpendapat bahawa membuat pemerhatian terhadap kanak-kanak lebih penting daripada memberikan ujian.


Jangka masa sensitif dalam pembelajaran berlaku dalam masa awal hayat dan semasa terdapat perkembangan pest dari segi fizikal dan bahasa. Dalam hal ini guru mempunyai 3 peranan iaitu ;


  1. Mengakui wujudnya masa-masa yang sensitif
  2. Belajar untuk mengesannya
  3. Menyediakan pengalaman-pengalaman untuk memperkembangkan potensi kanak-kanak


Montessori yakin bahawa kanak-kanak belajar dengan lebih berkesan dalam persekitaran yang disediakan. Persekitaran ini mungkin di bilik darjah, di rumah, di taman asuhan kanak-kanak atau di padang permainan. Matlamat penyediaan persekitaran ini ialah untuk membolehkan kanak-kanak berdikari dan tidak bergantung kepada orang dewasa. Di sinilah kanak-kanak dapat melakukan sesuatu untuk diri mereka sendiri.

Pendidikan Awal Kanak-Kanak : Teori & Falsafah Maria Montessori (1870 - 1952) Bahagian 2



Walaupun Montessori yakin terhadap kebebasan yang perlu diberikan kepada kanak-kanak dan kebolehan mereka untuk menggunakan kebebasan yang diberikan kepada mereka, tetapi kanak-kanak tidak bebas memilih semua bahan yang dikehendakinya. Merekan hanya boleh memilih bahan-bahan yang disediakan oleh guru. Kanak-kanak juga perlu mengetahui cara untuk menggunakan bahan-bahan mengikut prosedur yang betul. Di sinilah terletak unsur disiplin dan kawalan diri yang dipelajari oleh kanak-kanak daripada persekitaran yang disediakan.


Montessori memberikan maksud pendidikan kendiri sebagai suatu konsep apabila kanak-kanak boleh mendidik diri mereka sendiri semasa melakukan aktiviti-aktiviti yang terdapat di persekitaran yang disediakan. Melalui penglibatan dalam aktiviti ini, kanak-kanak dapat mempelajari sesuatu, membuat refleksi, dan mendapat kepuasan diri.


Britton (1992) menyatakan bahawa mengikut pemerhatian yang dilakukan oleh Montessori, semua kanak-kanak mempunyai ciri yang universal. Ciri-ciri tersebut ialah ;

  • Semua kanak-kanak mempunyai absorbent mind
  • Semua kanak-kanak melalui peringkat umur yang sensitif
  • Semua kanak-kanak ingin belajar
  • Semua kanak-kanak belajar melalui bermain/bekerja
  • Semua kanak-kanak melalui pelbagai peringkat perkembangan
  • Semua kanak-kanak ingin berdikari


Kaedah Montessori


  • Practical life - pendidikan untuk perkembangan motor kasar
  • Sensory material - untuk melatih deria
  • Academic material - untuk mengajar menulis, membaca dan matematik


Sertai link berikut untuk lebih banyak tips parenting dan ilmu pendidikan awal kanak-kanak https://t.me/+sacNR_e0JuI5MjVl





Post a Comment

0 Comments