Siapakah Allahyarhamah Tun Rahah?

Semalam, 18 Disember 2020 Malaysia telah digemparkan dengan pemergian Allahyarhamah Tun Rahah iaitu ibu kepada bekas Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Najib Tun Razak. Bagi anak muda sekarang, Allahyarhamah Tun Rahah hanya dikenali sebagai ibu bekas Perdana Menteri Malaysia 6. Namun tahukah anda bahawa Tun Rahah sangat giat dalam bidang politik memandangkan beliau adalah anak seorang ahli politik dan juga isteri kepada Perdana Menteri Malaysia yang kedua.




Siapakah Allahyarhamah Tun Rahah?

Allahyarhamah Tun Hajah Rahah binti Tan Sri Dato' Haji Mohamed Noah (11 Jun 1933 - 18 Disember 2020) ialah balu kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak Dato' Hussein dan ibu kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Mohd Najib. Beliau ialah anak kepada allahyarham Tan Sri Mohamed Noah Omar, bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Rahah dilahirkan pada 11 Jun 1933 di Muar, Johor. Beliau ialah anak bongsu daripada sepuluh beradik dan anak kepada Mohamad Noah Omar. Semasa bersekolah di sebuah sekolah menengah di Johor Bahru, Rahah diperkenalkan kepada Abdul Razak Hussein yang pada ketika itu sudah menjadi ahli aktif parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) oleh Taib Andak, rakan kepada Abdul Razak semasa belajar di London. Abdul Razak dan Rahah berkahwin pada 4 September 1952. 


Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kedua pada tahun 1970. Sebagai pasangan perdana menteri, Rahah berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan penaung Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi).  Pada tahun 1976, suami beliau meninggal dunia, meninggalkan Rahah menjadi balu pada usia 43 tahun.

Rahah ialah canselor Universiti Tun Abdul Razak, universiti yang ditubuhkan untuk memperingati jasa suaminya. Oleh kerana Abdul Razak ialah perdana menteri yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara Republik Rakyat China, semua duta besar China membuat kunjungan hormat kepada Rahah setelah tiba di Malaysia.

Dalam satu temu bual bersama Rahah pada tahun 2011, beliau berkata bahawa beliau menghabiskan sebahagian besar masanya menghadiri kelas agama bersama dengan rakan-rakan.


Sedikit Latar Belakang Ayahanda Allahyarhamah Tun Rahah

Tan Sri Dato' Haji Mohamed Noah bin Orang Kaya Omar, atau Noah Beirut, dilahirkan pada 13 Ogos 1897 di Bandar Maharani, Muar, Johor, merupakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang pertama (1 September 1959 - 29 Februari 1964) dan Yang Dipertua Dewan Negara yang ketiga (24 Februari 1969 - 28 Julai 1970). Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Parlimentari Komanwel. Selepas bersara, beliau menjadi Pengarah Genting Highlands Sdn Bhd, sebuah pusat perjudian di Gunung Ulu Kali.


Beliau menang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Tanah Melayu 1959 bagi kawasan Johor Bahru Timur, negeri Johor (1958-1964). Ketika itu Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu ialah Tunku Abdul Rahman dan Timbalan Perdana Menteri ialah Tun Abdul Razak Hussein. Pilihan raya ini adalah yang pertama selepas merdeka 31 Ogos 1957. Pilihan raya umum Tanah Melayu 1959 ini cukup hebat kerana diadakan berperingkat-peringkat , bermula dari negeri Perlis hingga Kelantan. Ketika itu Sabah dan Sarawak belum menyertai / membentuk Malaysia. Kerusi Parlimen bertambah dari 52 (1955) kepada 104 kerusi (1959). Perikatan menang 74 kerusi dan pembangkang menang 30 kerusi.

Mengikut salasilah, beliau berasal daripada sebuah keluarga yang sejak turun-temurun bergelar "Orang Kaya" yang menjaga dan mentadbir daerah Padang, Muar.

Bapanya, Orang Kaya Omar dan datuknya Orang Kaya Junid merupakan "Orang Kaya" yang terbilang dan berpengaruh pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim (1862-1895). Gelaran "Orang Kaya" dikurniakan kepada seseorang rakyat untuk menjadi wakil Sultan menjaga keamanan dan mentadbir daerahnya.

Datuk beliau, Orang Kaya Junid, berasaI daripada zuriat seorang kerabat Raja Chempa Bugis yang berkerajaan di daerah Bukit Makmur (Bukit Mor), Muar, Johor.

Beliau berkahwin dengan Puan Sri Maimun binti Haji Abdul Manaf (anak Kadi Daerah Muar) pada April 1922. Hasil perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan dengan 4 orang anak, 3 orang perempuan dan 1 orang lelaki. Anak-anak mereka bernama Suhailah Mohamed Noah, Rahah Mohamed Noah, Datin Fakhriah dan Abu Rais (gelaran Atan). Tun Suhailah Mohamed Noah adalah isteri kepada Perdana Menteri Malaysia ke-3, Tun Hussein Onn (1976-1981), Tun Rahah Mohammad Noah adalah isteri kepada Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein (1971-1976). Manakala Datin Fakhriah Mohamed Noah pula adalah isteri kepada Dato' Abdullah Ahmad, bekas Yang di-Pertua, Majlis Bandaran Johor Bahru.

Sumber : Wikipedia

Post a Comment

0 Comments