Masjid Tua Berusia 300 Tahun di Narathiwat

Kunjungan aku ke selatan Thailand baru-baru ini tidak disia-siakan dengan melawat ke masjid tua yang berusia 300 tahun. Masjid ini yang lebih dikenali sebagai Masjid Al-Hussein atau Masjid Talo Mano, merupakan salah satu masjid paling klasik di Thailand. 


Terletak di Narathiwat, sebelah selatan Thailand, masjid ini masih menjadi tempat ibadah utama bagi komuniti Muslim di sana. Dibina pada 1634 untuk kegunaan masyarakat Islam, masjid ini betul-betul masjid kayu tertua di Thailand.


Asal-usul masjid ini boleh ditelusuri ke zaman Kerajaan Pattani, di bawah pemerintahan seorang sultan. Penduduk setempat, yang terdiri dari orang Muslim dan Buddha, bekerjasama membina masjid pada 1634.


Masjid ini dikatakan telah dibina oleh Wan Husein Az-Sanawi, seorang guru yang berhijrah ke Pattani pada 1624. Al-Quran tulisan tangan dan pelan bangunan masjid disimpan di dalam masjid itu sendiri.


Wan Husein as-Sanawi, atau al Hussien, ulama yang menghafal Al-Quran 30 juzuk, banyak hadis, dan berbagai ilmu Islam. Perjalanan hidupnya membawa ke pulau Jawa dan pengajaran di pulau Madura. Diketahui bahawa dia dan adik beradiknya akrab dengan masyarakat di Pulau Sumbawa, menyebabkan anggapan bahawa Wan Husein as-Sanawi berasal dari keturunan Arab di Pulau Sumbawa.


Dari Pulau Sumbawa, keluarga ini melanjutkan perjalanan ke negeri Cam atau Champa, di mana kerajaan Islam Cam didirikan oleh datuk nenek mereka yang berasal dari negeri Arab. Setelah melalui perjalanan panjang melalui pantai-pantai India, mereka tinggal di kerajaan Langkasuka dan bergaul dengan masyarakat Melayu, membentuk Daulah Islam Fathani Darus Salam atau lebih dikenal sebagai Patani.


Dari Patani, mereka melanjutkan perjalanan ke utara dengan tujuan menyebarkan Islam di China. Meskipun tujuan ini tidak tercapai, mereka berhasil membentuk Kerajaan Islam-Melayu yang dikenal sebagai Kerajaan Cam atau Champa. Cita-cita untuk menyebarkan Islam ke China tetap hidup dalam keturunan mereka, yang juga menyebarkan Islam di Filipina, Brunei Darussalam, dan Jawa. Beberapa Wali Songo di Jawa berasal dari keluarga ini.


Antara kisah lain wujudnya masjid ini adalah terinspirasi dari kisah wanita muda dari Pattani yang melarikan diri semasa peperangan dengan kerajaan Siam, ketika diselamatkan wanita tersebut masih utuh memeluk Al Quran dan dari situ terinspirasi untuk dibina sebuah masjid ditempat wanita tersebut diselamatkan (Wallahualam)


Dari segi senibina, gaya arsitektur masjid ini mencampur adukkan unsur-unsur dari Cina, Thai, dan Melayu. Kayu dari pokok turi dan kayu besi digunakan dalam pembinaannya. Kerana paku belum wujud pada masa itu, baji digunakan sebagai gantinya. Atap asal dibuat daripada daun kelapa sawit, kemudian diganti dengan jubin terakota. 


Masjid ini terdiri daripada dua bangunan, satu dengan mihrab dan menara bergaya Cina, sementara bangunan yang lebih besar menunjukkan pengaruh senibina Thai. Dinding kedua bangunan dihiasi dengan ukiran reka corak Thai/Cina/Melayu yang memukau.


Namun apa yang menarik, di sini juga terdapat makam para syuhada yang terkorban dalam tragedi di Takbai. Seramai 20 orang atau lebih telah dikebumikan di sini. 


Jika anda ke selatan Thailand, ambillah peluang untuk singgah menunaikan solat di masjid yang berusia 300 tahun ini. Alhamdulillah sepanjang kunjungan ke Thailand ini, sudah 3 masjid tua yang aku sempat mengambil keberkatan dengan menunaikan solat di dalamnya iaitu masjid berusia 300 tahun ini, Masjid Krue Se dan sebuah masjid di Bangkok iaitu Masjid Ton Son yang dibina pada tahun 1688 ketika zaman Ayutthaya

Post a Comment

1 Comments