Berniaga sambil beramah mesra dengan peminat antara pengisian acara Carboot Sale di DXN Cyberville, Cyberjaya kali keempat yang dianjurkan selama dua hari pada hujung minggu lalu.
Antara selebriti yang memeriahkan acara bersama produk jualan masing-masing adalah, pelakon Siti Fazurina, Syed Ali dan juga penyanyi Fakhrul UNIC.
Siti Fazurina yang pernah popular dengan drama Puteri dan Dunia Anita melahirkan rasa gembira apabila keputusannya menyertai jualan Carboot Sale DXN Cyberville di sini menjadi medan bertemu dengan peminat yang masih mengenali dirinya.
Menurut Siti Fazurina, dia yang pada mulanya hanya sekadar suka-suka tidak menyangka jualan minuman dengan jenama Minom miliknya mendapat sambutan.
Ini kali pertama dan memang saya tidak sangka langsung seronok berniaga di Carboot Sale ini. Jualan hari pertama pun okey, tetapi hari kedua semua buah-buahan untuk smoothie telah habis.
Dalam masa sama saya yang sudah jarang-jarang muncul di televisyen seronok apabila dapat juga bertemu peminat,
kongsinya yang turut memiliki syarikat produksi sendiri.
Dalam pada itu pelakon dan usahawan, Syed Ali yang sudah kali ketiga menyertai penganjuran Carboot Sale ini menyifatkan acara ini salah satu medan terbaik untuk para usahawan kecil mengembangkan lagi jenama masing-masing.
Saya memang seronok dapat menyertai acara ini sebab selain dapat berjualan dan mempromosikan produk pewangi fabrik keluarkan saya iaitu BeFresh, saya juga dapat bertemu peminat dan rakan-rakan artis yang lain.
Carboot Sale ini berbeza kerana tempatnya amat selesa bukan sahaja untuk peniaga tetapi juga pengunjung yang hadir kerana semua kemudahan disediakan.
Bagi saya jika ingin berjaya, saya harus merebut segala peluang dan ruang yang ada untuk mempromosikan produk keluaran sendiri termasuklah menyertai acara seperti ini. Status selebriti bukan tiket atau jalan pintas untuk sesuatu produk berjaya,
ujar Syed Ali.
Sementara itu, Fakhrul UNIC juga melahirkan rasa gembira apabila jualan kraf kayunya menerusi jenama Art & Craft 4A’s Wood Art mendapat perhatian dan tumpuan termasuk daripada kanak-kanak.
Seronok kali pertama jualan mendapat sambutan, malah kanak-kanak juga suka dengan aktiviti seni kayu yang kami ketengahkan.
Alhamdulillah juga sebab kami turut menerima tempahan daripada pengunjung yang tertarik dengan produk kami,
katanya pada acara yang dihadiri sekitar 500 pengunjung itu.
Selain itu, agensi bakat The Vokal turut menjalankan sesi uji bakat dan mendapat sambutan baik apabila hampir 100 peserta yang hadir mencuba nasib.
Turut diteruskan pada jualan kali ini ialah sudut sedekah, Infak Corner yang menyediakan barangan keperluan harian seperti barangan dapur dari syarikat media dan produksi.
Program jualan yang diadakan sebulan sekali itu diacarakan oleh artis serba boleh Adzrin Azhar yang turut membuat persembahan.
0 Comments