Pendidikan Awal Kanak-Kanak | Peranan Main Dalam Proses Pembelajaran

Sebagaimana yang kita sedia maklum, pengalaman langsung kanak-kanak amat mempengaruhi perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak. Pengalaman langsung yang paling asas dan semulajadi ialah bermain. 




Alam kanak-kanak tidak dapat dipisahkan daripada bermain. Kanak-kanak belajar dari proses bermain. Pembelajaran yang berlaku adalah secara holistik. Pelbagai perkara dapat dipelajari oleh kanak-kanak melalui satu jenis permainan yang direka sendiri ataupun yang dikongsi sama. Seringkali kanak-kanak merekacipta permainan sendiri termasuk peraturan bermain, penggiliran, alatan dan sebagainya.


Apakah peranan main dalam proses pembelajaran? Apakah definisi main? Bagaimanakah bermain boleh mengembangkan potensi kanak-kanak? Persoalan ini harus sentiasa difikirkan oleh guru memandangkan bermain ialah pembelajaran semulajadi. Telah menjadi hak kanak-kanak untuk bermain, berehat, beriadah dan berseronok menurut akta hak kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (1989). Justeru, guru perlu menyediakan persekitaran pembelajaran yang dapat memenuhi keperluan kanak-kanak dan sekaligus memberikan hak kepada kanak-kanak untuk belajar melalui proses bermain yang sememangnya menjadi fitrah manusia.


Konsep Main


Kita sedar dan faham tentang main apabila kita melihat atau mengalaminya sendiri. Mudah bagi kita menjelaskan konsep main dengan melihat unsur-unsur main sperti main ialah sukarela, main bermotivasi intrinsik, main melibatkan penglibatan dan pergerakan fizikal yang aktif serta main mempunyai kualiti yang melibatkan imaginasi (Pellegrini, 1995). Oleh itu, main merupakan suatu aktiviti yang menyeronokkan, mengalami sendiri atau terlibat secara langsung, memerlukan penglibatan aktif secara fizikal dan kognitif serta kesannya juga berlaku secara langsung ke atas individu yang mengalami atau yang melakukannya.


Menurut Fromberg (1987), secara umumnya main adalah simbolik, bermakna, menyeronokkan, sukarela dan bermotivasi intrinsik, berperaturan dan berbentuk episodik. Seringkali main dikatakan antonim kepada kerja atau belajar. Sebenarnya konsep tersebut kurang tepat kerana kerja atau belajar yang menikmati kepuasan serta mempunyai empat unsur berkenaan tergolong dalam konsep main.


Main dapat digolongkan mengikut fungsinya, iaitu main sebagai satu kemajuan, main sebagai kuasa, main sebagai fantasi dan main sebagai main. (Brian Sutton-Smith dalam Pellegrini 1995).


(a) Main sebagai kemajuan melihat main sebagai satu proses belajar, iaitu proses untuk menambah baik serta memenuhi keperluan psikologi dan keperluan sosial.

(b) Main sebagai kuasa merujuk kepada pertandingan yang melibatkan pasukan lawan, menang dan kalah.

(c) Main sebagai fantasi berkait secara langsung dengan main sebagai kemajuan. Kedua-duanya melibatkan kanak-kanak. Main sebagai fantasi juga melibatkan peranan main dalam mencungkil dan meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan imaginatif.

(d) Main sebagai main mengutamakan kualiti pengalaman main itu sendiri, bukannya hasil daripada bermain. Kualiti main melibatkan pengalaman intrinsik dalam diri pemain.



Bagi kanak-kanak, main merupakan satu laluan yang membolehkan kanak-kanak belajar dan mengenali persekitaran atau dunianya melalui penerokaan, simulasi, lakonan, proses cuba-jaya dan manipulasi alatan. Main juga ialah satu proses semulajadi yang menghubungkaitkan alam fizikal kanak-kanak dengan alam spiritual, pemikiran, kreativiti, perlambangan, idea, peranan serta pengalaman masa depan kanak-kanak.  Kanak-kanak belajar melalui proses main.


Bermain merupakan satu pendekatan terancang dan berstruktur bagi memberikan peluang kepada murid belajar dalam suasana yang tidak begitu formal, menyeronokkan, bebas dan selamat. Bermain meliputi aktiviti yang memberikan kegembiraan dan peluang bagi murid melahirkan perasaan, meneroka serta mencuba dan meningkatkankemahiran. Bermain dapat memberi murid peluang untuk memberikan tumpuan dan perhatian. Melalui bermain, perkembangan kognitif dan psikomotor dapat dipupuk. Murid atau kanak-kanak yang melalui proses bermain akan mendapat pengalaman langsung yang sudah pasti akan memberikan kesan pembelajaran yang mantap dan berkesan.


Untuk lebih banyak tips parenting dan ilmu Pendidikan Awal Kanak-Kanak boleh sertai group ini https://t.me/+sacNR_e0JuI5MjVl






Post a Comment

1 Comments

  1. Betul tu..bermain pun satu pembelajaran utk anak2..cuma kita kenal pantau sikit

    ReplyDelete