Pendidikan Awal Kanak-Kanak | Pendapat Tokoh Perkembangan Kanak-Kanak

Mengikut Kohn (1998) kanak-kanak pada peringkat prasekolah ialah individu yang aktif dan mengalami proses pembelajaran yang boleh dilihat daripada 10 aspek personaliti utama iaitu ;


1. Secara semulajadi kanak-kanak mempunyai perasaan ingin tahu, bersifat egosentrik, belajar dengan cara meniru kelakuan orang lain dan ingin memahami perkara yang baru dilihatnya.




Kanak-kanak mempunyai perasaan ingin tahu kepada perkara yang dilihat dan disentuh dan mereka bertanya mengenai perkara yang dilihat itu seperti manusia, haiwan dan benda-benda fizikal. Mereka ingin mengetahui siapa, apa dan bagaimana benda itu dibuat. 


Pada peringkat awal mereka tidak mengetahui mengenai benda itu daripada segi sebab dan musabab. Mereka suka melihat aksi perlawanan dengan mengandaikannya sebagai perkara magis. Mereka sentiasa menanyakan soalan seperti "Siapa orang jahat itu?", "Kenapa dia pukul kawan dia?" Perkara ini berlaku kerana mereka ingin mencari sebab atau pun kaitan antara satu perkara dengan perkara yang lain. 


Mengikut terapi Adlerian, perasaan ini menerangkan manusia dimotivasikan oleh minat sosial dan mereka cuba membentuk matlamat hidup pada masa depan.



2. Kanak-kanak memerlukan gerakan yang luas menggunakan psikomotor kasar. Kanak-kanak yang sihat sentiasa aktif. Mereka suka bergerak ke merata-rata tempat dan melakukan pelbagai aktiviti seperti melompat, berlari, mengambil benda dari merata-rata tempat, makan, menangis, ketawa, menanyakan soalan dan lain-lain. 


Perkara ini semulajadi bagi setiap kanak-kanak. Bayi yang hanya duduk dan tidak pernah cuba berjalan tidak dapat membentuk kaki yang kuat. Kanak-kanak yang tidak pernah makan buah limau tidak merasai rasa masam. Tumpuan kanak-kanak pada setiap perkara yang dilakukan oleh mereka hanya sedikit apabila dibandingkan dengan aktiviti bermain dengan permainan yang diminati. Ini menyebabkan orang dewasa merungut kerana kanak-kanak juga akan membuat bising apabila terlalu leka bermain dengan perkara yang diminati oleh mereka itu.


Keinginan mendapatkan gerakan yang lebih luas dikaitkan dengan terapi tingkah laku dan ia mempunyai hubungan dengan pembelajaran. Manusia diandaikan sebagai produk persekitaran yang membentuk tingkahlaku kanak-kanak itu.



3. Kanak-kanak belajar melakukan sendiri atau berdikari. Apabila kanak-kanak memiliki pengalaman membuat perkara sebelum kita menerangkan kepada mereka sebenarnya memberi makna yang berkesan, berdasarkan pengalaman mereka yang sudah lalui. Kanak-kanak belajar ketika bermain dan mereka meniru aksi yang dilakukan berdasarkan cerita yang dilihatnya seperti 'Ultraman' atau 'Spiderman'. Apabila berada di taman kanak-kanak mereka cuba melakukan aktiviti dan perbuatan daripada gerakan badan dan sebagainya seperti orang dewasa.


Mengikut terapi 'person-centred', manusia mempunyai potensi menyedari perkara-perkara yang dialami dengan sendiri dan cuba menyelesaikan masalah itu. Kanak-kanak suka melakukan kajian mengenai perkara yang dilihatnya. Mereka berasa seronok apabila dapat melakukan sesuatu dengan sendirinya. Guru prasekolah digalakkan melakukan kajian dengan kanak-kanak kerana perkara ini dapat merangsang perkembangan kognitif atau pun minda kanak-kanak.



4. Kanak-kanak belajar melalui pengalaman yang diulangi atau demonstrasi contohnya mereka memahami konsep angin. Mereka melihat angin yang meniup pokok, berasa angin daripada kipas, meniup menggunakan straw atau membuat gelembung angin. Mereka melakukan aktiviti ini berulang kali sehingga berpuas hati. Apabila dikaitkan dengan terapi tingkahlaku, aktiviti belajar cara ini dilakukan dengan pengukuhan dan imitasi. Aktiviti ini menghasilkan kaedah belajar yang lebih efektif dengan menggunakan imaginasi apabila sentiasa diulangi.



5. Pengalaman kanak-kanak terhad iaitu bergantung pada persekitaran. Mereka hanya dapat melihat sedikit sahaja perkara yang berlaku di luar daripada rumah. Mereka hanya mengenali dan mengetahui bilangan ahli keluarga sahaja seperti ibu, ayah, datuk, nenek dan benda-benda yang berada di sekeliling rumah. Bagi kanak-kanak yang tinggal di pendalaman pula, mereka mungkin tidak mengetahui dan mengenali keadaan laut dan pantai.


Oleh kerana pengalaman kanak-kanak begitu terhad, kaedah terapi eksistensialisis mengusulkan orang dewasa supaya membantu kanak-kanak mengenal pasti perkara-perkara yang menyekat kebebasan mereka bagi membantu mereka mencari pengalaman dengan lebh luas.



6. Kanak-kanak bersifat egosentrik. Kanak-kanak melihat perkara secara egosentrik iaitu berdasarkan pemerhatian yang berhubung dengan dirinya sendiri. Contohnya "Hujan akan membasahkan saya". Mereka tidak memikirkan mengenai hujan akan turun membasahi sesiapa sahaja. Guru prasekolah boleh mengaplikasikan terapi Gestalt bagi membantu kanak-kanak membuat interpretasi supaya lebih bermakna.



7. Kanak-kanak melalui masa yang ditentukan sebelum mereka bersedia mengikut perkemabnagn. Kanak-kanak menunjukkan persediaan menghadapi perkembangan apabila mereka sudah melalui masa yang ditentukan iaitu ketika mereka mula belajar duduk, merangkak dan berjalan. Fasa ini penting kerana ia memberi kesan kepada perkembangan persekitaran kanak-kanak itu pada masa depan.



8. Cara konsep memerlukan perkembangan bahasa. Apabila kanak-kanak mengenali dan mengetahui perkara yang baru bagi dirinya mereka cuba menggunakannya. Sebagai contoh mereka mengetahui nama 'segi empat tepat' mereka mula menggunakan nama itu secara kerap walaupun kepada benda-benda lain. Tanpa mengetahui perkataan itu mereka mungkin tidak boleh memberi tumpuan kepada benda yang mempunyai bentuk segi empat. Apabila mereka mula membuat pemerhatian, mereka ingin mengetahui nama benda-benda lain pula.



9. Cara berfikir kanak-kanak dengan orang dewasa berbeza iaitu kanak-kanak mula berfikir bagaimana maklumat dapat digabungkan, teteapi mereka tidak mampu melakukannya sendiri. Pertalian yang dilakukan dan konsep yang dibina oleh kanak-kanak berbeza dengan apa yang dilakukan oleh orang dewasa.



10. Perkembangan kanak-kanak berbeza iaitu setiap kanak-kanak berbeza antara satu sama lain. Perkembangannya mengikut fasa-fasa yang ditentukan seperti yang dikemukakan oleh Piaget (1953), Kohlberg (1984) dan Erikson (1963).



Untuk lebih banyak tips parenting dan ilmu Pendidikan Awal Kanak-Kanak boleh sertai group ini https://t.me/+sacNR_e0JuI5MjVl





Post a Comment

0 Comments