Kepentingan Bermain Bagi Kanak-Kanak

Untuk artikel kali ini aku ingin meneruskan perkongsian tentang Pendidikan Awal Kanak-Kanak mengenai kepentingan bermain bagi kanak-kanak. Tahukah anda bahawa melalui bermain sama ada dikendalikan secara terancang atau kanak-kanak bermain sendiri, proses perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh akan terus berlaku. 




Mengapakah kanak-kanak bermain? Menurut Piaget (1962), kanak-kanak bermain atas sebab-sebab berikut ;-


1. Main memberikan peluang kepada kanak-kanak meluahkan idea, perasaan dan emosi.

2. Main membolehkan kanak-kanak tenang dan beriadah

3. Main membolehkan kanak-kanak menggunakan tenaga yang berlebihan.

4. Main membolehkan kanak-kanak menyediakan diri untuk tahap perkembangan seterusnya termasuk alam dewasa.

5. Main memberikan peluang kepada kanak-kanak belajar menyelesaikan masalah dengan pelbagai (kognitif, manipulatif, sosial) yang menyumbang kepada perkembangan intelek.

6. Main melibatkan pembelajaran merentasi tiga domain iaitu kognitif, sosial dan psikomotor.

7. Main membudayakan proses pembelajaran termasuk mengulang, berlatih, latih tubi, meniru, meneroka, menemui, mengulangkaji, membuat perkaitan, menghurai, merumus, membentuk semula dan menguji.

8. Main membantu dalam pembentukan jati diri, keterampilan diri, pemupukan nilai murni seperti motivasi intrinsik, penglibatan, ketahanan, kemahiran interpersonal, harga diri, keyakinan diri dan berani bertindak


Kepentingan bermain bagi kanak-kanak dapat kita kategorikan kepada aspek perkembangan fizikal, kognitif dan sosioemosi.


1. Perkembangan Fizikal


Melalui bermain, kemahiran psikomotor, iaitu motor kasar, motor halus, koordinasi mata-tangan, pergerakan lokomotor dan non-lokomotor dapat dibina. Kemahiran fizikal berkenaan termasuk berlari, melompat, memanjat, mengimbang, mengayuh basikal,bermain bola, menendang, menyambut dan membaling bola.


Aktiviti taman sains seperti menanam, menyiram, membaja dan menggali tanah dapat meningkatkan keupayaan dan ketangkasan deria bau, deria sentuh, kemahiran motor halus, pergerakan lokomotor dan non-lokomotor di samping penerokaan alam semulajadi. Aktiviti mewarna, melakar, melukis, membentuk, menampal dan mencantum dapat membina kemahiran manipulatif, koordinasi mata-tangan dan kemahiran motor halus. 


Begitu juga dengan aktiviti renang dapat membina kemahiran mengimbang, mengapung, mengawal pernafasan serta dapat mengurangkan perasaan takut dan bimbang. Ini selaras dengan teori manipulatif dan teori psikodinamik. Bermain dapat meningkatkan kemahiran motor halus dan koordinasi mata-tangan serta dapat mengeluarkan perasaan takut dan bimbang kepada peringkat sedar.



2. Perkembangan Sosioemosi


Melalui permainan sosial, kanak-kanak belajar berinteraksi dengan orang lain secara positif, belajar menghormati hak orang lain, mengambil giliran, berkongsi alatan serta melayani keperluan orang lain. Kanak-kanak akan mempelajari nilai menghargai alam sekitar, memelihara persekitaran serta mengenal dan menghormati nilai budaya.


Menurut teori instinct (naluri), alam kanak-kanak merupakan tempoh persediaan diri untuk ke alam dewasa. Pengalaman bermain seperti main peranan dan main imaginatif dapat membantu kanak-kanak mencapai kematangan. Melalui permainan imaginatif seperti main pondok-pondok dan doktor-doktor, kanak-kanak belajar peranan sebagai orang dewasa.




3. Perkembangan Kognitif


Perkembangan kognitif dan bahasa merupakan satu aspek yang penting dalam perkembangan individu. Mendengar, membaca, berbincang dan bertutur amat membantu dalam perkembangan kognitif. Melalui bermain, melakonkan semula apa yang dibaca atau cerita yang didengar akan mempercepatkan penguasaan bahasa dan kognitif.


Kanak-kanak ialah pelajar yang aktif. Kanak-kanak cepat belajar dengan melakukan sendiri seperti meneroka, membuat uni kaji atau kajian, mereka bentuk model dan kraf tangan. Dengan cara iti kanak-kanak akan lebih memahami dunia sekeliling dengan mudah.


Melalui permainan bahasa, permaianan dam, puzzle, nyanyian, main peranan, simulasi dan congkak akan membantu dalam mengembangkan kemahiran matematik dan sains serta berfikir secara logik dan kreatif.




Aktiviti melukis, mewarna dan membina objek kreatif dapat mengembangkan kemahiran reka cipta serta kreativiti. Sebenarnya melalui aktiviti bermain, murid dapat dikembangkan secara menyeluruh. Berikut ialah senarai kepentingan bermain secara ringkas ;


1.        

Belajar konsep

 

2.        

Meningkatkan keupayaan kognitif

 

3.        

Memupuk pemikiran yang inovatif, kritis dan kreatif

 

4.        

Memenuhi perasaan ingin tahu melalui penerokaan

 

5.        

Membantu dalam menyelesaikan masalah

 

6.        

Membina kemahiran social

 



Untuk lebih banyak tips parenting dan ilmu Pendidikan Awal Kanak-Kanak boleh sertai group ini https://t.me/+sacNR_e0JuI5MjVl

 Rujukan : Murid dan Alam Belajar

Post a Comment

1 Comments

  1. Dulu kann kalau anak kita duduk diam je tak bermain, kemain risau kita tau.. ye laa kot sakit ke, ada apa tak kena ke dengan anak aku.. so sekarang kita kena pastikan anak bermain dan buat aktiviti bermain yang berfaedah yang boleh kembangkan minda anak-anak.. selain tengok gadjet dan tv..

    ReplyDelete