Ingin Memulakan Perniagaan? Jom Ketahui Bentuk-Bentuk Perniagaan (Bab 1 : Pemilikan Tunggal)

Setiap usahawan yang menjalankan perniagaan harus menubuhkan organisasi perniagaan. Terdapat 3 jenis bentuk perniagaan yang boleh dipilih bergantung kepada jenis perniagaan dan rancangan perniagaan iaitu ;


1. Pemilikan Tunggal

2. Perkongsian

3. Syarikat




1. Pemilikan Tunggal


Perniagaan pemilikan tunggal ataupun sole proprietorship adalah bentuk perniagaan yang paling asas dan mudah ditubuh serta diurus. Perniagaan pemilikan tunggal adalah sesuai bagi perniagaan kecil yang dimiliki dan dikendalikan oleh seorang pemilik.


Akta Pendaftaran Perniagaan 1956


Pemilikan tunggal tertakluk kepada Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 yang ditadbir oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 mentaktifkan "perniagaan" sebagai setiap bentuk tred, perdagangan, pertukangan, pekerjaan, profesyen atau aktiviti lain yang dijalankan bagi tujuan mendapat keuntungan selain dari mana-mana kerja yang dinyatakan di dalam Jadual (Seksyen 2) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.


Pemilihan Nama Perniagaan


Langkah pertama dalam menubuhkan pemilikan tunggal adalah pemilihan nama perniagaan. Nama mempunyai peranan penting kerana ia mencerminkan identiti dan jenama perniagaan.


Perniagaan boleh didaftar dengan menggunakan nama individu atau nama dagangan. Bagi nama dagangan, carian nama perlu dibuat terlebih dahulu untuk memastikan supaya nama yang dipilih tidak digunakan oleh perniagaan lain.


Jika nama individu digunakan, nama seperti di dalam kad pengenalan perlu ditambah dengan perkataan 'perniagaan', 'enterprise' atau sebagainya bagi membezakan nama individu daripada nama perniagaan.


Nama dagangan pula boleh direka sendiri tetapi tertakluk kepada kelulusan dari SSM. Permohonan nama akan ditolak sekiranya nama itu telah didaftar oleh perniagaan lain atau dianggap tidak sesuai. nama yang menggunakan perkataan sperti 'Yang DiPertuan Agong', 'Raja Permaisuri', 'Kerajaan', 'Jabatan', 'Pihak Berkuasa', 'Persatuan' dan 'Koperasi' tidak boleh didaftar kerana ia membawa maksud tertentu yang akan mengelirukan orang ramai sekiranya digunakan.


Nama Perniagaan yang telah diluluskan hanya sah selama 30 hari dari tarikh kelulusan. Selepas tempoh itu, permohonan nama yang baru perlu dikemukakan kepada SSM


Pendaftaran Perniagaan 


Setelah mendapat kelulusan nama perniagaan, pendaftaran perniagaan boleh dibuat dengan mengemukakan SSM ;

  • Borang Pendaftaran Perniagaan (Borang A) yang lengkap ;
  • Salinan kad pengenalan pemohon ; dan
  • Yuran berjumlah RM30 bagi perniagaan yang menggunakan nama sendiri atau yuran berjumlah RM60 bagi perniagaan yang menggunakan nama dagangan
* Pemilikan tunggal perlu didaftarkan di dalam tempoh tidak lebih dari 30 hari selepas perniagan beroperasi.


Ingin Memulakan Perniagaan? Jom Ketahui Bentuk-Bentuk Perniagaan (Bab 1 : Pemilikan Tunggal)



Perakuan Pendaftaran Perniagaan


Setelah pendaftaran diluluskan Perakuan Pendaftaran Perniagaan (Borang D) akan dikeluarkan oleh SSM. Perakuan Pendaftaran harus dipamerkan di premis perniagaan manakala nombor Perakuan Pendaftaran pula perlu dicatat di atas kepala surat, resit, invois dan lain-lain dokumen perniagaan.

Ingin Memulakan Perniagaan? Jom Ketahui Bentuk-Bentuk Perniagaan (Bab 1 : Pemilikan Tunggal)



Perakuan Pendaftaran adalah sah untuk tempoh satu tahun dan perlu diperbaharui sebelum tamat tempoh sahlakunya dengan mengemukakan Borang Pembaharuan Pendaftaran Perniagaan (Borang A1) serta membayar yuran yang ditetapkan kepada SSM.

Kegagalan memperbaharui Pendaftaran Perniagaan boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.


Perubahan Perniagaan


Apa-apa perubahan kepada perniagaan perlu didaftarkan dengan mengemukkan borang tertentu serta yuran yang ditetapkan kepada SSM dalam tempoh 30 hari dari tarikh berlaku perubahan.

Borang yang perlu diisi adalah ;

  • Borang B1 (bagi perubahan alamat utama perniagaan);
  • Borang B2 (bagi perubahan jenis perniagaan);
  • Borang B3 (bagi perubahan maklumat cawangan); atau
  • Borang B4 (bagi perubahan maklumat pemilik)

Ingin Memulakan Perniagaan? Jom Ketahui Bentuk-Bentuk Perniagaan (Bab 1 : Pemilikan Tunggal)


Di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, kegagalan mendaftar perubahan perniagaan boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali


Penamatan Perniagaan 


Untuk menamatkan perniagaan, Borang C iaitu Notis Pendaftaran Penamatan Perniagaan perlu dikemukakan kepada SSM dalam tempoh 30 hari dari tarikh penamatan operasi perniagaan. Penamatan perniagaan tidak semestinya menandakan kegagalan perniagaan malah ia mungkin disebabkan oleh kejayaan perniagaan yang memerlukan peningkatan status kepada bentuk syarikat. Selain dari itu, perniagaan juga mungkin ditamatkan kerana kebankrapan atau kematian pemilik.


Ciri Pemilikan Tunggal


Bagi pemilikan tunggal, pemilik dan perniagaan dianggap sebagai entiti yang sama. Ini bermakna bahawa segala kegiatan yang dijalankan oleh perniagaan dianggap sebagai kegiatan pemilik. Segala tanggungjawab dan liabiliti perniagaan adalah juga tanggungjawab dan liabiliti pemilik. Dengan itu, hutang kepada perniagaan boleh dituntut oleh pemilik secara peribadi melalui tindakan mahkamah di dalam nama pemilik manakala hutang perniagaan juga boleh dituntut daripada pemilik secara peribadi.


Kelebihan Pemilikan Tunggal


Kelebihan pemilikan tunggal adalah ;

  • Penubuhan dan pendaftaran pemilikan tunggal adalah mudah dan murah
  • Modal untuk memulakan perniagaan adalh kecil dan boleh dikumpul dengan bantuan keluarga, kawan atau kenalan.
  • Pengurusan perniagaan adalah mudah kerana pemilikan tunggal hanya mempunyai seorang pemilik. Keputusan perniagaan boleh dicapai dengan serta merta dan perjalanan perniagaan dikawal dengan rapi oleh kerana saiz perniagaan yang kecil
  • Pemilik tidak perlu melantik Setiausaha Syarikat
  • Akaun perniagaan tidak perlu disediakan atau diaudit
  • Pemilik boleh meraih keuntungan perniagaan dengan sepenuhnya tanpa berkongsi dengan pihak lain.
  • Kadar cukai pendapatan dikira atas kadar individu yang rendah berbanding dengan cukai korporat kerana segala keuntungan perniagaan dianggap sebagai pendapatan pemilik sebagai individu.

Kelemahan Pemilikan Tunggal


Kelemahan pemilikan tunggal adalah ;

  • Kepakaran seorang pemilik mungkin terhad dan boleh menyekat perkembangan perniagaan
  • Sumber kewangan juga terhad disebabkan kesukaran bagi pemilikan tunggal untuk mendapat pinjaman kewangan.
  • Kerugian perniagaan terpaksa ditanggung sepenuhnya oleh pemilik
  • Tanggungan pemilk adalah tiak terhad yang bermakna bahawa pemilik harus menanggung kerugian secara peribadi sekiranya perniagaan mengalami kerugian. Harta peribadi pemilik juga boleh dituntut oleh pemiutang untuk menjelaskan hutang perniagaan.
  • Pengecualian cukai pendapatan bagi individu adalah terhad kepada hal peribadi dan keluarga tidak merngkumi petbelanjaan perniagaan yang boleh diambil kira di dalam taksiran cukai korporat.
  • Operasi perniagaan hanya boleh diteruskan selama hayat pemilik. Apabila pemilik meninggal dunia, operasi perniagaan di bawah nama pemilik dianggap tamat dan waris tidak boleh mengambilalih perniagaan secara otomatik.


Semoga perkongsian ini bermanfaat. Insyallah kita akan berjumpa di bab seterusnya iaitu Perkongsian.

Rujukan : Panduan Undang-Undang Untuk Kejayaan Perniagaan 




Post a Comment

0 Comments