Resipi Nasi Hujan Panas & Udang Masak Merah

by - Wednesday, December 30, 2020

Untuk artikel kali ini aku ingin kongsikan resipi kegemaran Malaysia di musim perkahwinan. Memandangkan sekarang adalah musim kenduri jadi aku ambil kesempatan ini untuk berkongsi resipi Nasi Hujan Panas & Udang Masak Merah versi aku.



Resipi Nasi Hujan Panas


Bahan-bahannya ;

1. 2 pot beras basmathi
2. 3 pot air (sukatan untuk 1 pot basmathi ialah 1 pot beras = 1 1/2 pot air)
3. 1 biji bawang holland
4. 5 ulas bawang putih
5. 1 inci halia
6. 1 batang kulit kayu manis
7. 3 biji bunga lawang
8. 3-4 biji buah pelaga
9. 2 sudu besar marjerin
10. 2 sudu besar minyak sapi
11. Garam secukup rasa
12. sedikit pewarna hijau, merah dan kuning

Cara-cara memasak ;

1. Bawang holland, bawang putih dan halia dikisar halus dan ketepikan.
2. Panaskan  marjerin dan minyak sapi dalam rice cooker
3. Masukkan bahan kisar
4. Masukkan kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang
5. Tumis sehingga bahan naik bau
6. Masukkan beras basmathi & garam
7. Masukkan air mengikut sukatan dan kacau sedikit bagi semua bahan sebati (ingat jangan kacau terlalu keras atau lama kerana ia akan merosakkan tekstur beras. Cukup sekadar pastikan bahan ditumis dan beras sekata).
8. Tutup periuk dan biarkan hingga rice cooker terpadam sediri.
9. Setelah nasi masak segera titikkan pewarna ke dalam nasi yang tengah panas (titik 1 titik pewarna di tempat berlainan - guna 3 pewarna) kemudian tutup kembali periuk.
10. Balik angkatkan nasi 2 kali ketika ingin hidangkan nasi agar warnanya terbentuk cantik (ingat jangan gaul kasar kerana ia akan menghancurkan bentuk beras basmathi)
11. Sedia dihidang. Boleh ditaburkan sedikit bawang goreng dan daun sup

* Anda juga boleh masukkan sedikit susu cair ketika memasak nasi untuk tambahkan rasa lemak tapi kurangkan sedikit nisbah air agar nasi tidak lembik. Tapi aku secara jujur agak kurang gemar masukkan susu kerana nasi hujan panas tanpa susu lebih tahan lama dan tidak cepat basi.




Resipi Udang Masak Merah

Bahan-bahannya ;

1. 10 ekor udang
2. 3 biji bawang merah
3. 3 ulas bawang putih
4. 1/2 inci halia
5. 3-4 sudu besar cili giling (ikut tahap kepedasan yang anda suka)
6. 3 sudu besar sos cili
7. 1 sudu besar sos tomato
8. 1 sudu teh gula
9. Garam secukup rasa
10. Minyak untuk menumis
11. suku cawan air

Cara-cara memasak ;

1. Bersihkan udang dan ketepikan
2. Kisarkan bawang merah, bawang putih dan halia 
3. Panaskan minyak dalam kuali
4. Tumis bahan dikisar hingga sedikit garing
5. Masukkan cili giling 
6. Masukkan gula (petua untuk masak merah warnanya menjadi cantik ialah masukkan gula ketika menumis cili agar warna yang diterbitkan nanti lebih cantik dan merah)
7. Tumis hingga nampak cili pecah minyak
8. Masukkan udang
9. Masukkan sos cili dan sos tomato
10. Masukkan air & garam
11. Masak sehingga kuah mula memekat (jangan terlalu lama kerana udang akan menjadi keras jika memasak terlalu lama)



Selamat mencuba. Semoga perkongsian ini bermanfaat. Resipi ini cukup untuk 4 orang makan. Jika anda mempunyai keluarga yang besar boleh gandakan resipi ini.

Artikel berkaitan

1 comments