Bekas Perdana Menteri Malaysia di Hukum Penjara Berjumlah 72 Tahun?

Umum mengetahui bahawa bekas Perdana Menteri Malaysia sedang menghadapi pertuduhan membabitkan perbuatan pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa. Dan pada hari ini, 28 Julai 2020 Datuk Seri Najib Razak telah pun dijatuhkan hukuman.

Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas Perdana Menteri itu 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah wang RM42 juta milik SRC International Sdn.Bhd. Hakim turut memerintahkan Datuk Seri Najib Razak dipenjara 12 tahun penjara dan denda RM210 juta (jika gagal bayar, lima tahun penjara) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.


Kronologi kes SRC Najib | Astro Awani

Manakala bagi tuduhan pengubahan wang haram pula, hakim memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dipenjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan. Walau pun hukuman penjara itu berjumlah 72 tahun, namun hakim bagaimanapun memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Buat pengetahuan, Datuk Seri Najib Razak berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International. Beliau didakwa mendapatkan suapan RM42 juta apabila terbabit dalam keputusan bagi pihak kerajaan dalam memberikan jaminan terhadap pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan kepada SRC International.

Dia didakwa menerima RM42 juta hasil aktiviti haram yang didepositkan ke dalam akaun peribadinya. Beliau didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di antara 17 Ogos 2011 hingga 2 Mac 2015. Hukuman yang sepatutnya dijatuhkan selepas penghakiman dibuat pagi tadi, tertangguh selepas Muhammad Shafee memohon penangguhan untuk prosiding untuk rayuan sebelum hukuman dijatuhkan kepada Isnin depan.

Namun, permohonan itu dibantah V Sithambaram dengan hujah penangguhan hanya diberikan selepas hukuman diberikan dan bukannya penangguhan bagi sabitan.

Susulan pertikaian isu berkenaan, prosiding ditangguhkan oleh hakim pada sebelah petang bagi membolehkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan masing-masing.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak sebelah petang, hakim menolak permohonan Najib supaya rayuan bagi meringankan hukuman dan hukuman terhadapnya ditangguhkan dan didengar pada tarikh lain.

Mohd Nazlan mengarahkan Muhammad Shafee meneruskan rayuannya.

Dalam rayuannya mendapatkan hukuman ringan kepada Najib, Muhammad Shafee antara lain menyifatkan bekas perdana menteri itu menjadi mangsa tindakan bermotifkan politik.

Katanya, sebahagian besar wang berkenaan atau 99.9 peratus, tidak digunakan tertuduh bagi kepentingan peribadinya, sebaliknya bagi tujuan tanggungjawab sosial, kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Beliau berkata, hanya 0.1 peratus digunakan bagi tujuan peribadi iaitu membaiki sebahagian daripada kediaman di Jalan Langgak Duta.

Muhammad Shafee berkata, Najib tidak mengetahui pemilik akuan penderma menyalurkan AS$681 juta ke dalam akaunnya.

Katanya, Najib memberi kerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang tempoh siasatan kes itu.

"Apa yang penting adalah, dalam semua siasatan tidak pernah sesekali ada aduan mengenai saksi yang diganggu," katanya.

Sementara itu, Sithambaram dalam hujahnya, berkata hukuman sewajarnya ke atas Najib membuktikan semua orang adalah sama dan tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang di negara ini.

"Penyelewengan wang SRC International mencalar imej negara dan rakyat Malaysia tidak sepatutnya menerima kesan daripada itu. Ini adalah pertama kali Perdana Menteri dan Menteri Kewangan didakwa dan disabitkan di mahkamah.

"Oleh itu hukuman yang diberikan mesti menunjukkan graviti kesalahan yang dilakukan," katanya.

Sementara itu, Najib yang turut merayu dari dalam kandang tertuduh, mendakwa tidak mengetahui jumlah wang yang dimaksudkan dalam pertuduhan dikenakan terhadapnya itu.

"Sebagai orang Islam, Wallahi Wabillahi Watallahi saya tidak meminta, saya tidak merancang atau saya ditawarkan RM42 juta itu. "Saya bersaksi kepada Allah, saya juga tiada pengetahuan mengenai jumlah wang itu. Begitu juga tiada bukti atau saksi berhubung perkara itu," katanya.

Beliau berkata, sepanjang perkhidmatan sebagai Perdana Menteri selama sembilan tahun, negara mengalami pertumbuhan ekonomi pesat.

Dalam tempoh itu juga, katanya, pasaran saham mencapai kedudukan paras tertinggi dan berlaku pembangunan pesat melalui pengangkutan serta dan perumahan awam dalam skala besar.

Najib yang menjadi perdana menteri keenam dari 2009 hingga 2018, menjadi ketua negara pertama di Malaysia diheret ke mahkamah.


Kronologi Kes Najib Razak


Perbicaraan bermula pada 3 April 2019 dengan pendakwaan memanggil 57 saksi sebelum menutup kesnya pada 27 Ogos tahun sama.

Pada 11 November 2019, Najib diarahkan membela diri atas kesemua pertuduhan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes 'prima facie' terhadapnya.

Pada 3 Disember 2019, Najib memberi keterangan sebagai saksi pertama pembelaan untuk menjawab pertuduhan terhadapnya dengan membaca penyataan saksi setebal 243 muka surat.

Pada 5 Jun lalu, mahkamah menetapkan hari ini untuk mengumumkan keputusan dalam kes itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di akhir kes pembelaan yang bermula pada 1 Jun.

Pertama kali Najib dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Julai 2018 atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Pada 8 Ogos 2018, Najib sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Kronologi kes Najib Tun Razak
Gambar Ihsan Bernama


Semoga apa yang telah terjadi ini dapat dijadikan iktibar dan pengajaran bukan hanya kepada semua pemimpin negara tetapi juga buat diri sendiri. 

Rujukan : Berita Harian & Bernama

Post a Comment

0 Comments