Pengalaman Masuk Ke Istana Negara

Pengakhiran tahun 2023 memberi kenangan manis buat aku apabila aku diberikan rezeki oleh Allah untuk menjejakkan kaki ke dalam Istana Negara. 



Umum mengetahui bukan semua orang berpeluang untuk menjejakkan kaki ke dalam Istana Negara apatah lagi jika rakyat biasa macam aku ni. Namun Alhamdulillah, berkat rezeki dan bantuan dari BERNAMA TV khasnya Puan Hazlinda selaku Executive Producer akhirnya merasa juga aku menjejakkan kaki ke Istana Negara.




Pengalaman Masuk Ke Istana Negara


Selasa, 26 Disember 2023 seawal pukul 8 pagi aku dah bertolak dari rumah menuju ke Wisma BERNAMA kerana mengikut rancangan, pukul 9 pagi semua kru terlibat akan berkumpul di lobi dan sama-sama bertolak menuju ke Istana Negara. 



Pukul 10 pagi kami telah berada di Istana Negara melalui Gate 2. Untuk masuk ke Istana bukanlah semudah untuk kita masuk ke tempat lain, kami dikehendaki mendaftar di pintu masuk sebelum diberikan pas lawatan.


Setelah bertemu dengan pegawai yang bertanggungjawab, kami terus dibawa masuk ke istana. Perasaan ketika melangkah masuk ke istana tu memang sukar untuk digambarkan kerana ianya bercampur baur antara rasa teruja dan rasa bersyukur, maklumlah bukan semua orang dapat merasa masuk ke istana.

Dah namanya istana, untuk pergi ke ruangan yang telah disediakan untuk sesi interview pihak Bernama, perjalanannya agak sedikit jauh. Pendek kata, jika datang tanpa diiringi pasti akan sesat.

Setelah sampai ke ruangan menunggu, mata agak kagum dengan keindahan hiasan dalaman istana yang dihiasi dengan bunga-bunga orkid segar kegemaran Tuanku Permaisuri. Kebetulan, hari kami berkunjung ke istana adalah hari pihak istana menggantikan bunga-bunga yang telah layu kepada bunga-bunga yang segar.

Setelah selesai tugasan, aku tak lepaskan peluang untuk bergambar di beberapa ruangan sebagai tanda kenang-kenangan yang aku pernah masuk ke dalam Istana Negara.


Masuk Hingga Ke Dapur Istana


Tidak semua orang bertuah untuk masuk ke istana apatah lagi masuk hingga ke dapur istana. Namun telah tertulis rezeki aku agaknya, aku bukan sahaja dapat masuk ke istana tetapi juga dapat masuk hingga ke dapur istana.

Menariknya lagi, oleh kerana pihak dapur istana tidak bersedia ketika hari pertama kami menjejakkan kaki ke istana jadi pihak pengurusan Istana Negara meminta kami untuk datang kembali pada hari Khamis, 28 Disember 2023. Secara tidak langsung 2 kali berturut-turut aku memasuki Istana Negara.

Menjejakkan kaki ke istana pada kali pertama itu memang sudah rezeki, menjejakkan kaki buat kedua kalinya pula ibarat rezeki terpijak apatah lagi masuk hingga ke dapur istana dan melihat sendiri bagaimana Chef-Chef istana memasak untuk KDYMM Yang di-Pertuan Agong sekeluarga.

Kebetulan juga pada hari kami datang, Chef istana tengah membuat persiapan untuk memasak puding raja. Jadi sempatlah kami mengambil sedikit footage masakan tersebut.


Namun atas faktor-faktor keselamatan, aku tidak dibenarkan untuk memuatnaik gambar-gambar keadaan sekeliling dapur dan juga di dalam istana. Cukuplah aku rakamkan untuk simpanan peribadi aku.


Singgah ke Gate 1 Istana Negara


Usai menyelesaikan semua tugas, sempat juga kami singgah ke Gate 1 Istana Negara. Buat pengetahuan, Gate 1 adalah pagar utama istana dan boleh dilawati oleh orang awam.

Namun begitu, orang awam hanya boleh berada di luar perkarangan pagar sahaja dan dibenarkan untuk mengambil gambar di sini.

Jika anda ke sini, jangan lupa mengabadikan gambar-gambar anda bersama Pengawal Berkuda Istana yang sentiasa mengawal di Gate 1 ini.


Sedikit Mengenai Istana Negara


Istana Negara,  merupakan kompleks istana yang menempatkan kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Malaysia. Terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur, istana ini secara rasminya menggantikan peranan Istana Negara di Jalan Istana pada 15 November 2011.

 

Penyerahan istana kepada pentadbiran Istana Negara berlangsung pada 18 Oktober 2011, dan istana ini memulakan operasinya sepenuhnya pada 11 November 2011. Istiadat Menaikkan Bendera Diraja Yang di-Pertuan Agong diadakan pada 15 November 2011 sebagai lambang pengisytiharan Istana Negara di Jalan Tuanku Abdul Halim sebagai Istana Negara Malaysia yang baharu.

 

Pengalaman Masuk Ke Istana Negara
 Photo by CEphoto, Uwe Aranas or alternatively © CEphoto, Uwe Aranas, CC BY-SA 3.0, https://commons.wikimedia.org/w/index.php?curid=36561745


Pentadbiran Istana Negara memulakan operasinya sepenuhnya semasa pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, merupakan istiadat pertabalan pertama yang diadakan di istana ini. Istana Negara, Jalan Duta, menjadi simbol kedaulatan Malaysia yang terus mengukuhkan tradisi dan institusi monarki negara ini.


Rancangan Khas di BERNAMA TV


Seperti yang telah aku ceritakan di awal tadi, aku masuk ke istana sebenarnya atas 'tiket' BERNAMA TV kerana pada pertengahan bulan Januari 2024 mereka bakal mengeluarkan dokumentari khas mengenai KDYMM Yang di-Pertuan Agong. 


Pengalaman Masuk Ke Istana Negara


Dikesempatan ini aku ingin menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pihak BERNAMA TV yang sudi membawa aku bersama-sama ke Istana Negara. Tanpa bantuan dari BERNAMA TV dan Puan Hazlinda khasnya, pasti impian untuk menjejakkan kaki ke istana masih belum dapat direalisasikan. Hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian.

Jadi, bagi anda semua yang setia membaca blog aku pastikan anda menonton dokumentari khas BERNAMA TV ini di https://www.bernama.com/tv/

Ikuti juga BERNAMA di ;

YouTube : @bernamatv502
Facebook : bernamaofficial
Instagram : bernamaofficial
@bebelancikmin Finally..dulu selalu berangan je nak masuk istana, Alhamdulillah semalam dapat jugak jejakkan kaki ke dalam Istana Negara 🥰. #hello2024 #tiktokerdiraja #istananegara #istana #royalfamily #bebelancikmin ♬ Jangan dulu lelahhh - Dino Abdilah

Post a Comment

1 Comments