Night Carnival #4 Persembahan Seni Budaya Untuk Sambutan Ulang Tahun Ke-263 Jogjakarta

by - October 12, 2019

Berbicara tentang Yogyakarta/Jogjakarta tentu sahaja kita terbayangkan sebuah negara yang penuh dengan adat dan tradisi Jawa.


Buat pengetahuan, Kota Jogjakarta adalah sebuah bandaraya yang terletak di Indonesia dan pernah menjadi ibu negara Indonesia pada suatu masa dahulu. Jogjakarta juga pernah menjadi Pusat Kerajaan Mataram sekitar tahun 1575-1640 dan sehingga kini Kraton (Istana) masih berfungsi dalam istilah fungsi yang sebenarnya kerana Jogjakarta sehingga kini mempunyai Sultan tersendiri iaitu Sri Sultan Hamengkubuwono X (juga dikenali sebagai Sultan HB).

Pada 7 Oktober yang lalu, Jogjakarta telah menyambut Hari Ulang Tahun yang ke-263. Sempena ulang tahun yang ke-263, kota tua ini telah menyambut ulang tahun secara besar-besaran dengan 60,000 penduduknya turut meraikan.

Dan pada setiap 7 Oktober tiap tahun, Night Carnival/Wayang Jogja akan dipersembahkan sebagai persembahan seni budaya dan turut dipersembahkan sebagai tarikan pelancong. Alhamdulillah, aku sangat bersyukur sebab mempunyai kesempatan untuk turut serta memeriahkan hari ulang tahun ke-263 Jogjakarta dan sekaligus berkesempatan melihat sendiri persembahan seni budaya kota yang penuh sejarah ini.



Wayang Kapi-Kapi

Wayang Kapi-Kapi adalah persembahan tradisi yang berkait rapat dengan kisah para dewa. Umum mengetahui yang Jogjakarta dipengaruhi oleh Hindu dan Buddha meskipun kini agama terbesar adalah Islam. 

Pada malam persembahan, terdapat 14 Wayang Kapi-Kapi dari 14 kecamatan/daerah yang dipersembahkan manakala setiap persembahan mempunyai cerita yang tersendiri.

Aku yakin, mesti ramai yang agak keliru dan kurang faham apa yang dinamakan dengan Wayang Kapi-Kapi ni kan? Jom aku kongsikan sedikit sinopsis tentang Wayang Kapi-Kapi (yang aku dah terjemahkan dalam bahasa Melayu).



Sinopsis Wayang Kapi-Kapi


Kapi-kapi muncul ketika lakon wayang "Senggana (Anoman) meminta bantuan bapa". Pada saat itu Hanuman telah pergi ke kayangan untuk bertemu dengan para dewa dan ingin bertanyakan tentang adakah benar bahawa Bathara Guru adalah bapanya namun begitu Bathara Guru tidak mahu mengakui Hanuman sebagai anaknya kerana Hanuman mempunyai fizikal seakan-akan monyet.

Oleh kerana itu Hanuman mula mengamuk dan ingin menghancurkan kayangan. Pada ketika itu para dewa berusaha untuk menghalang namun kesemua usaha menemui jalan buntu sehinggalah Bathara Bayu sendiri masuk campur dan dileraikan oleh Bathara Nada.

Melihat pada kebolehan Hanuman maka Bathara Bayu telah mengakui yang Hanuman adalah anaknya namun telah diejek oleh Bathara Nada dan kesemua dewa yang ada di situ. Lantaran marah, Bathara Bayu telah menyumpah kesemua dewa yang ada akan memiliki anak seperti seekor monyet.

Dalam sekelip mata selepas sumpahan berlaku, kesemua anak-anak mereka telah bertukar menjadi seperti seekor monyet dengan pelbagai bentuk. Dikisahkan ketika Rama Wijaya yang hendak mencari isterinya Dewi Sinta di Alengka, Rama Wijaya telah bertemu dengan Sugriwa dan Sugriwa berjanji akan membantu Rama Wijaya jika Rama Wijaya mampu menewaskan abangnya iaitu Subali. Kemudian Subali telah berjaya ditewaskan dan Sugriwa telah menunaikan janji dengan membantu membekalkan pasukan monyet yang cukup banyak namun begitu pasukan monyet tersebut tidak terlatih dan hal ini sangat menggusarkan Rama Wijaya.

Para dewa mengetahui tentang hal tersebut dan sebagai hadiah kerana telah mengalahkan Subali, akhirnya para dewa telah turun ke bumi dan menemui Rama Wijaya dan memberikan bantuan sehingga Rama Wijaya berhasil menemukan isterinya Dewi Sinta.

14 Persembahan Wayang Kapi-Kapi

Terdapat 14 buah persembahan dari 14 kecamatan/daerah berdasarkan sinopsis di atas. Setiap 14 buah kecamatan/daerah mempersembahkan kisah yang berbeza dengan Kapi yang berbeza. Berikut adalah kecamatan/daerah dan Kapi yang dipersembahkan :

  • Kapi Premujabahu (Kecamatan Kraton)
  • Kapi Sembawa (Kecamatan Tegalrejo)
Kapi Sembawa memiliki badan dan ekor seperti monyet serta berkepala singa. Mempunyai tugas utama sebagai tentera dan memberi semangat perang kepada tentera monyet.


  • Kapi Cucak Rawun (Kecamatan Kotagede)
Memiliki gabungan tubuh antara burung dan monyet. Memiliki kelebihan dapat terbang sangat tinggi hingga dapat mengesan pergerakan musuh.

  • Kapi Endrajanu (Kecamatan Gondokusuman)
Memiliki badan dan ekor eakan monyet namun berkepala kerbau. Kapi Endrajanu mempunyai kekuatan yang luar biasa dan terkenal sangat rajin dan patuh kepada ketua.

  • Kapi Jaya Widagsi (Kecamatan Danurejan)
Berbadan monyet dan berkepala badak. Badan yang besar serta tenaga kuat menyebabkan Kapi Jaya Widagsi menjadi salah satu tentera handalan Pancawati

  • Kapi Jaya Arina (Kecamatan Jetis)
Mempunyai badan dan ekor seakan monyet namun berkepala kijang. Mempunyai kelebihan berlari sepantas kilat sehingga selalu terhindar dari serangan musuh.

  • Kapi Jaya Trewilun (Kecamatan Mergangsan)
Mempunyai badan dan ekor seakan monyet namun berkepala arnab

  • Kapi Kingkin (Kecamatan Wirobrajan)
Kapi Kingkin memiliki gabungan badan seperti monyet dan ketam. Kapi Kingkin mempunyai kebolehan berenang dalam sungai dan lautan. Kapi Kingkin adalah ciptaan dari Sang Hyang Baruna(Dewa Ikan) untuk diberikan kepada Ramawijaya

  • Kapi Jaya Harima (Kecamatan Mantrijeron)
Kapi Jaya Harima memiliki badan dan ekor seakan monyet tapi berkepala harimau.

  • Kapi Wraha (Kecamatan Gondomanan)
Kapi Wraha berbadan monyet dan berkepala babi hutan

  • Kapi Warjita (Kecamatan Pakualaman)
Kapi Warjita juga dikenali sebagai Cacingkanil. Berbadan monyet serta kepala dan ekor melilit seperti cacing.

  • Kapi Jaya Anala (Kecamatan Umbulharjo)
Kapi Jaya Anala memiliki badan, wajah dan ekor seperti monyet namun mempunyai rambut berupa api menyala. Kapi Anala adalah seekor monyet pujaan dari Bathara Brama.

  • Kapi Sata Bali (Kecamatan Gedongtengen)
Kapi Satabali memiliki badan monyet, berekor serta berkepala ayam. Kapi Satabali memiliki tugas khusus iaitu menjaga pesanggrahan Swelagiri iaitu tempat Ramawijaya menginap selama peperangan melawan bala tentera antara Prabu Desamuka.

  • Kapi Liman Dhesti (Kecamatan Ngampilan)
Kapi Liman Dhesti memiliki gabungan badan antara gajah dan monyet.


Pengalaman Aku Menyaksikan Persembahan Seni Budaya Yang Hebat Ini

Terus terang pada mulanya aku langsung tak faham tentang penceritaan yang dipersembahkan namun aku sangat enjoy dan menikmati persembahan seni budaya yang pada aku sangat kuat pengaruh Hindu dan adat resam Jawa ini.

Selepas aku meneliti dan membaca serta membuat sedikit kajian baru aku faham yang setiap persembahan ini berkait rapat dengan kisah dewa Hanuman yang terkenal dalam kisah dewa-dewa.

Setiap persembahan telah dipersembahan dari daerah yang berlainan dan setiap persembahan tersebut mempunyai kisah tersendri serta mempamerkan tentera-tentera yang sangat membantu dalam kisah peperangan Ramawijaya.

Kalau korang merancang untuk ke Jogjakarta, aku cadangkan korang untuk datang pada bulan Oktober kerana pada bulan Oktober memang terlalu banyak aktiviti sempena menyambut hari ulang tahun Kota Jogjakarta. Kalau berkesempatan datang la pada 7 Oktober sebab Night Carnival atau Wayang Jogja ini akan dipersembahkan pada tiap 7 Oktober pada setiap tahun.

Apa pun terima kasih pada Dinas Pariwisata Kota Yogyakarta yang telah membawa aku ke kota seribu kisah ini.


You May Also Like

1 comments

  1. Suka tengok persembahan budaya macam ni. Bila lah nak sampai sana eh. Suka tengok warna warni tu

    ReplyDelete