Pendidikan Awal Kanak-Kanak mengikut Pendekatan Imam Al-Ghazali

by - September 28, 2017

Tetibe hari ni rasa cam nak masuk tajuk parenting ni. Haha..tak pe la atleast berguna juga PAKK  yang aku amik kat UM dulu. Amik je course tu tapi tak praktis pun..haha..Aku tak ingat lecturer aku yang ajar bab aku nak bincangkan ni tapi kalo tak silap Prof Mahzan kot..haha..(nanti check balik)

Banyak tokoh dan teori untuk pendidikan awal kanak-kanak ni tapi aku mulakan dahulu dengan pendekatan Imam Al-Ghazali sebab aku lebih suka kalau kita mendidik anak-anak mengikut pendekatan Islam. Jadi sebelum aku share tentang pendekatan beliau, aku nak share dulu siapakah tokoh pendidikan awal kanak-kanak dari timur tengah  ini.

Siapakah Imam Al-Ghazali?

Dilahirkan sebagai Abu Hamid Muhammad Bin Muhammad Al-Ghazali pada 450H/1058M di Ghazali, sebuah pekan kecil di Thus (wilayah Khurasan) Iran (kini dikenali sebagai Meshed). Beliau merupakan anak murid Imam Al-Haramyn, Abu Al-Ma'ali Al-Juwaini & merupakan pakar dalam bidang Fiqah Al-Syafii' dan Kalam Al-Asy'ari. Salah satu buku beliau yang terkenal ialah Ihya' Ulumuddin yang ditulis selepas menyedari bahawa orang Islam mula melupakan agama. Beliau sangat menekankan pendidikan awal kanak-kanak.

Menurut beliau Ibu bapa perlu memerhatikan pendidikan anak-anak mereka sejak kecil. Mereka tidak seharusnya meminta orang lain menjaga dan menyusukan anak-anak kecuali oleh perempuan yang taat beragama, yang berilmu dan hanya memakan makanan halal (Syaikh Muhammad Jamaluddin:443)

Pandangan Kitab Ihya' Ulumuddin mengenai pendidikan kanak-kanak

  • Anak ialah tanggungjawab ibu bapa. Jiwa mereka adalah suci seperti mutiara, sangat bernilai, murni dan bebas daripada sebarang kerosakan dan bentuk. Mereka akan menerima dan mengikut apa sahaja yang diberikan kepada mereka.
  • Jika kanak-kanak dibesarkan dalam tingkah laku yang baik, mereka akan membesar dalam persekitaran yang baik dan menjadi manusia yang baik. Ibu bapa,guru, penjaga dan orang lain yang terlibat akan mendapat ganjaran daripada Allah.
  • Jika kanak-kanak didedahkan kepada tingkahlaku buruk dan pendidikan mereka diketepikan, mereka akan membesar menjadi orang yang tidak baik dan dosa-dosa mereka akan ditanggung oleh ibu bapa dan orang yang bertanggungjawab menjaga mereka.

Imam Al-Ghazali menekankan adab-adab makan kerana itu akan membentuk anak-anak
  • Ambil makanan dengan tangan kanan sahaja
  • Baca Bismillah sebelum makan
  • Ambil makan yang paling dekat dengan kita
  • Jangan berebut mengambil makanan sebelum orang lain.
  • Jaga mata agar tidak melilau melihat makanan atau wajah orang lain yang sedang makan.
  • Jangan gopoh ketika makan.
  • Kunyah makanan dengan perlahan dan hati-hati sebelum menelan.
  • Jangan memasukkan makanan ke dalam mulut dengan gopoh.
  • Jangan kotorkan tangan dan pakaian dengan makanan.
  • Biasakan diri makan tanpa lauk pada waktu-waktu tertentu agar kita tidak terlalu mengharap mendapat lauk setiap kali kita makan.
  • Ibu bapa mestilah sentiasa mengingatkan anak-anak bahawa makan terlalu banyak merupakan kelakuan buruk malah Imam Al-Ghazali mengatakan orang yang makan terlalu banyak adalah seperti haiwan.
  • Al-Ghazali menasihatkan ibu bapa agar menghantar anak-anak mereka ke sekolah bagi mempelajari cara bacaan Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW, mendengar kisah-kisah hidup para sahabat agar kanak-kanak boleh contohinya.
  • Kanak-kanak perlu dihalang daripada mendengar cerita-cerita lucah kerana ia boleh merosakkan akhlak mereka
  • Imam Al-Ghazali menekan pemberian ganjaran kepada kanak-kanak. Menurut beliau kanak-kanak yang berkelakuan baik wajar diberikan ganjaran dan pujian bagi menggembirakan hati mereka, jika mereka membuat kesilapan tanpa sengaja ibu bapa perlu berpura-pura tidak perasan kesilapan/kesalahan tersebut dan tidak memalukan mereka dengan menceritakan kesilapan/kesalahn tersebut kepada orang lain. Tapi jika kanak-kanak mengulangi kesilapan/kesalahan tersebut buat kali kedua, ibu bapa perlu bercakap dengan mereka secara bijak bahawa kelakuan tersebut tidak boleh diterima
  • Untuk menasihati anak juga ada caranya. Ibu bapa diminta tidak terlalu mengkritik
  • Kanak-kanak tidak digalakkan tidur siang kerana akan membentuk sifat malas dalam diri, walau bagaimanapun jangan halang mereka untuk tidur pada waktu malam.
  • Kanak-kanak (lelaki) digalakkan untuk tidur di atas tilam/tempat yang keras agar tubuh menjadi kental dan kuat.
  • Kanak-kanak perlu dilatih mengenai tingkah laku alam majlis tertentu misalnya jangan meludah atau menghembus hingus dihadapan orang, menguap dihadapan orang, duduk membelakangi orang lain, duduk menyilangkan kaki dan memanggung dagu dengan tangan
Nasihat Imam Al-Ghazali kepada ibu bapa
  • Penuhkan masa lapang bersama anak-anak
  • Mendidik anak-anak dengan amalan agama yang bersesuaian seperti amalan khusus dan amalan umum seperti sembahyang. Kaedah pengajaran ialah berperingkat dari segi tingkah laku dan bacaan.
  • Jelaskan kepada mereka tentang agama, bukan sahaja secara teori malahan amalan.
  • Kanak-kanak perlu dijelaskan tentang keburukan mencuri dan larang mereka daripada memakan makanan haram.
  • Kanak-kanak perlu diajar merendah diri
  • Jangan ajar anak-anak menipu.
  • Kanak-kanak perlu diajar untuk sentiasa sederhana dalam perlakuan.
  • Kanak-kanak perlu dinasihati agar tidak bercampur dengan orang tidak baik.
  • Jangan biarkan anak-anak terlalu selesa.
  • Ajar anak-anak memberi bukan menerima
  • Mesti tegas dengan anak-anak.
  • Biarkan anak-anak bermain kerana bermain itu tabiat kanak-kanak, boleh membina tubuh yang kecil dan menguatkan otot, membuat kanak-kanak gembira & membolehkan kanak-kanak bersantai setelah penat belajar.
  • Menegah ibu bapa daripada mengenakan hukuman yang melampau terhadap kanak-kanak.
  • Beliau mencadangkan agar ibu bapa mengelak daripada terlalu merendahkan anak-anak mereka dan terlalu menumpukan pada kelemahan mereka sebaliknya ibu bapa perlu membentuk tabiat dan naluri kanak-kanak dengan sebaiknya.


Ok..sebenarnya ada banyak lagi..tapi aku stop dulu kat sini sebab nanti korang penat membaca. Ni aku share apa yang aku belajar kat UM dulu.. hehe..nanti kalau tetibe mood PAKK ni muncul aku share lg teori montessori, piaget & banyak lagi.

You May Also Like

0 comments