Pendidikan Awal Kanak-Kanak | Pengalaman Belajar Kanak-Kanak

Sejak dilahirkan kanak-kanak berkembang melalui proses mengalami sesuatu. Kanak-kanak belajar berjalan, berlari, melompat, bertutur, berkawan dan bersosial melalui pengalaman sendiri. Kanak-kanak menghadapi kegagalan jatuh bangun sebelum berjaya. 


Proses belajar melalui pengalaman langsung ini merupakan cara semulajadi manusia belajar. Pembelajaran dalam bentuk pengalaman langsung sesungguhnya ialah bentuk pembelajaran yang paling berkesan. Sebenarnya pelbagai perkara dipelajari oleh kaak-kanak melalui sesuatu aktiviti yang dilaluinya.




John Holt dalam bukunya How Children Learn (1995), telah menyenaraikan prinsip-prinsip berikut dalam pembelajaran semulajadi kanak-kanak ;-


  • Kanak-kanak secara semulajadi mempunyai kekuatan daya ingin tahu dan keupayaan untuk belajar secara langsung tentang dunia sekitarnya.
  • Kanak-kanak mengetahui dengan sendirinya cara hendak belajar sesuatu.
  • Kanak-kanak memerlukan jumlah masa senyap yang banyak untuk berfikir.
  • Kanak-kanak tidak takut mengaku tidak tahu dan berani membuat kesilapan.
  • Kanak-kanak menghayati nilai-nilai intrinsik dalam perkara yang dipelajari mereka.
  • Kanak-kanak belajar paling baik tentang hubungan dengan orang lain melalui interaksi dengan pelbagai peringkat usia.
  • Kanak-kanak belajar paling baik tentang dunianya melalui pengalaman langsung.
  • Kanak-kanak memerlukan masa yang mencukupi untuk bersama keluarga.
  • Tekanan akan mengganggu pembelajaran kanak-kanak.

Berdasarkan prinsip tersebut, jelaslah bahawa penglibatan langsung dalam pembelajaran merupakan satu kaedah belajar yang semulajadi dan paling berkesan. Pengalaman langsung atau first hand experience merupakan belajar melalui proses membuat, mengalami atau melalui sendiri apa yang hendak dipelajari.


Contohnya, kanak-kanak belajar bertanggungjawab, mematuhi peraturan, berkongsi, belajar peranan orang dewasa mengikut tugas dan tanggungjawab melalui permainan pondok-pondok dan batu seremban. Apabila kanak-kanak terdedah kepada persekitaran yang merangsangkan minda, mereka akan belajar sesuatu dengan sendirinya.


kanak-kanak amat kuat rasa ingin tahunya. Lantaran itu, mereka banyak menyoal dan mencuba sesuatu yang baru tanpa rasa takut membuat kesilapan. Contohnya, kanak-kanak lelaki belajar melalui proses menanggal dan memasang semula kereta mainannya. Kaedah dan aktiviti pembelajaran yang dapat memberikan pengalaman langsung termasuk lawatan, kajian lapangan, membuat uji kaji, membuat pemerhatian, menjahit, menanam pokok, memelihara ikan di dalam akuarium, lakonan, drama dan bermain.


Pembelajaran yang berasaskan aktiviti dan berpusatkan murid dapat memberikan pengalamn langsung kepada murid-murid dalam proses pembelajaran. Sebagai guru khususnya, kita hendaklah mengambil kira alam belajar kanak-kanak dalam merancang pembelajaran yang berkesan. Alam belajar yang wajar disediakan haruslah merangkumi empat aspek iaitu ;

  • Berpusatkan murid
  • Berasaskan maklumat atau pengetahuan
  • Berpandukan pentaksiran pembelajaran
  • Berlandaskan komuniti pembelajaran

Rujukan : Murid dan Alam Belajar

Untuk lebih banyak tips parenting dan ilmu Pendidikan Awal Kanak-Kanak boleh sertai group ini https://t.me/+sacNR_e0JuI5MjVl

Post a Comment

0 Comments