Travelogue Perlis : Wajib ke Tempat ini Jika ke Perlis

Ok, jom la kita sambung kisah tempat-tempat & aktiviti-aktiviti yang korang wajib lawati dan buat jika ke Perlis ni. Part 1 aku dah kongsikan semalam dengan korang. Bagi yang belum baca boleh klik kat sini je http://www.bebelancikmin.com/2018/08/travelogue-perlis-tempat-aktiviti-wajib.html


Aku dah pun jatuh cinta dengan negeri Perlis. Maklumlah..di Perlis ni selain tempatnya yang cantik, makanan dan barang keperluan pun murah-murah belaka. Bayangkan..aku pergi ke Nat (pasar pagi) rambang mata dibuatnya..udang segar-segar dan besar-besar baru RM10 sepinggan.

Ok, jom aku sambung tempat yang aku dah pergi dan korang pun wajib pergi kalau datang ke Perlis ni.

Taman Negeri Perlis

Lepas je kami merehatkan badan sekejap dan mengisi perut yang lapar selepas ekspedisi ke Gua Kelam, kami terus menuju ke Taman Negeri Perlis yang terletak di sempadan barat negeri Perlis yang menemukan Semenanjung Malaysia dengan Thailand.



Taman Negeri ini berkedudukan di atas banjaran bukit batu kapur yang terpanjang di Malaysia, iaitu banjaran Nakawan. Banjaran Nakawan mempunyai lereng-lereng bukit yang diselubungi hutan tebal, dinding batu yang curam, anak-anak sungai dan sistem gua yang terpanjang. 

Taman Negeri terdiri daripada Hutan Simpan Kekal Mata Ayer dan Hutan Simpanan Kekal Wang Mu dengan jumlah kira-kira 5000 hektar.


Antara ciri-ciri istimewa hutan di Taman Negeri ni ialah :-
  • Ia wujud di atas bukit batu kapur dan mengandungi pelbagai spesis tumbuhan hutan yang hanya ditemui di habitat ini, termasuk yang tidak dijumpai di mana-mana tempat lain di Malaysia. Antara tumbuhan yang jarang ditemui adalah halia hutan, paku pakis dan balsam.
  • Hutan ini kaya dengan pelbagai hidupan liar termasuklah kambing gurun, harimau kumbang dan 6 spesis burung enggang dan merupakan satu-satunya tempat di Malaysia di mana beruk kentoi boleh ditemui.
  • Hutan ini merupakan sebahagian dari kawasan hutan luas yang menjalar melintasi sempadan Thailand membentuk Taman Negara Thaleban yang kaya dengan pelbagai hidupan liar.


Untuk keterangan lanjut mengenai Taman Negeri Perlis ni bolehlah hubungi :

Jabatan Perhutanan Negeri Perlis,
KM.2, Jalan Kaki Bukit, 01000
Kangar, Perlis
Tel : 04-9776626 (Pejabat Perhutanan)
Tel : 04-9457898 (Taman Negeri)
Fax : 04-9767901

Wang Kelian View Point

Ni pun satu tempat yang menarik bagi pecinta alam. Yang tak berapa nak cinta alam pun pasti akan jatuh cinta sebab di Wang Kelian view point ni korang akan dapat melihat pemandangan negeri Perlis yang menghijau.

Dikhabarkan pemandangan paling cantik ketika pagi. Kami hari tu pergi di sebelah petang tapi pemandangan tetap cantik.


Dusun Durian Berusia 120 Tahun

Terletak di Kaki Bukit, dusun durian berusia 120 tahun ni antara yang tertua di Perlis. Kaki Bukit merupakan lokasi pekan kecil yang menjadi tumpuan peraih dan pembeli kerana Kaki Bukit dikenali sebagai lubuk durian.


Dimiliki oleh Tham Ngui Long atau lebih dikenali sebagai Along, durian berusia 120 tahun  tersebut telah ditanam oleh moyang beliau. Menurut Along, pokok durian yang tingginya kira-kira 25 meter mampu menghasilkan lebih 1,000 biji setiap musim.

Aku ni kiranya antara yang bertuah dapat merasai sendiri buah yang berusia 120 tahun ni. Isi durian tertua ni memang sedap, lemak dan manis. Jangan tak tahu..haritu kami menghabiskan sebakul besar durian ni..hahaha..kiranya kami KENDURIAN la haritu.



Bukit Chabang

Sebenarnya Bukit Chabang ni adalah lokasi untuk pendakian. Bukit setinggi 390m ni antara bukit yang dianggap mencabar kerana laluannya 90% berbatu dan curam 70 darjah.

Bukit Chabang menjadi tumpuan untuk menyaksikan pemandangan yang yang indah, sunset dan sunrise sebenarnya.


Hari tu kami ke Bukit Chabang semata-mata untuk menyaksikan pemandangan matahari terbenam yang dikatakan sangat cantik di Bukit Chabang. Tapi malangnya nasib kami hari tu agak tak baik kerana tak berkesempatan nak melihat matahari terbenam di sana. Tapi kami sangat enjoy dengan pemandangan menghijau yang sangat sejuk mata memandang.



Banyak lagi sebenarnya yang aku nak kongsikan dengan korang mengenai Perlis ni. Maklumlah 5 hari kami berkampung di sana untuk menerokai keindahan dan keunikan yang terdapat di Perlis. Insyallah nanti aku akan sambung lagi kisah ekspedisi ke Perlis. 

Pendek kata kalau ke Perlis jangan cuma harapkan percutian mewah ala-ala diva. Nak tahu sendiri khazanah yang ada di Perlis ni kenalah lakukan ekspedisi yang adventure sikit sebab negeri Perlis ni keunikan dia adalah alam semulajadi.

Next episod aku akan kongsikan pengalaman aku mendaki Bukit Merbok yang diatasnya terdapat Gua Bunian yang menyimpan kisah mitos tentang kewujudan bunian. Nak tahu? kena la follow aku rapat-rapat hahahaha...

Post a Comment

2 Comments

  1. banyak jugak tempat menarik, nak kena explore lah!

    ReplyDelete
  2. Terima kasih share. Saya tinggal di Perlis pon tak tahu ada tempat-tempat menarik macam sis share ni

    ReplyDelete