Jangan Hina Islam Atas Tiket POLIGAMI (PART 5)

by - August 04, 2017

Petikan ni aku amik dari Facebook. Kredit pada si penulis. Tapi ini kisahnya dan realitinya..bagi suami sila la jalankan tanggungjawab anda. Pada suami yang mengamalkan poligami..mohonlah untuk berlaku adil. Jangan nafikan hak setiap isteri. Indah dan manis mungkin ilusi duniawi semata..jangan hancurkan kehidupan insan lain..jangan hancurkan kehidupan insan yang mengharapkan kasih sayang dan didikan seorang suami kerana tempat isteri adalah disisi suami.


"AKU ISTERI YANG ........"

Seorang isteri dengan wajah sedih dan murung datang bertemu dengan seorang Ustaz Pegawai Agama Runding Cara di Jabatan Agama Islam untuk meminta nasihat bagi mengadu hal suaminya.

Ustaz: Apa yang boleh saya bantu puan?

Isteri: Saya ingin mengadu kepada ustaz masalah suami saya.

Ustaz: Ye silakan, apa masalahnya itu?...

Isteri: Saya dianiaya dan dizalimi suami saya Ustaz. Saya diabaikan. Suami saya tidak menjalankan tanggungjawabnya kepada saya.

Nafkah saya tidak ditunaikan Ustaz. Makan minum saya tidak diendahkan Ustaz. Tempat tinggal saya juga tidak diuruskan.

*Ustaz tersenyum. Isteri itu kehairanan. Sedang hatinya dirundung sedih, Ustaz boleh tersenyum mendengar aduannya.

Ustaz: Wahai puan yang dirahmati Allah, sesungguhnya kamu wanita dan isteri yang beruntung.

Isteri: Hah??? Untung??

Ustaz: Ya wahai puan. Kamu sangat beruntung. Kamu wanita dan isteri terpilih.

Isteri: Saya bernasib malang Ustaz. Saya hidup susah. Saya menderita dan sengsara Ustaz. Kehidupan saya tunggang-langgang.

Ustaz: Sudahkah kamu berdoa wahai puan?

Isteri: Sudah Ustaz. Saya sudah hampir putus asa. Suami saya tetap tidak berubah.

Ustaz: Wahai puan, Allah sedang mengujimu. Allah amat kasih dan sayang padamu. Ujian itu memberi peluang kepadamu mengumpul pahala.

Tahukah kamu, bahawa Allah sangat dekat dengan doa orang-orang yang teraniaya dan dizalimi. Doa seorang isteri yang dianiaya dan dizalimi oleh suaminya itu, lebih dekat dan mendapat perhatian daripada Allah. Kerana apa?

Kerana seorang isteri itu merupakan amanah kepada seorang suami. Maka penganiayaan dan kezalimannya kepadamu akan memberatkannya di sisi Allah. Hatta andai kamu mendoakan kehancuran dan kemusnahannya pun Allah akan mendengar doamu itu wahai puan.

Kamu pulanglah ke rumahmu dan jalankan tanggungjawabmu terhadap suamimu sebagai isteri dengan taat kerana Allah. Allah akan membantumu.

Isteri: Suamiku sudah tidak pulang ke rumah, Ustaz. Dia sudah lama meninggalkanku dalam derita dan sengsara ini.

Ustaz: Allah..beruntungnya kamu wahai puan...

Isteri: Kenapa Ustaz asyik mengatakan yang saya ini beruntung? Sedangkan saya ini hidup dalam sengsara, derita dan air mata?

Ustaz: Allah...wahai puan, berapa umurmu sekarang ini?

Isteri: 40 tahun tuan.

Ustaz: Berapa lama lagi kamu mahu hidup di dunia ini?

Isteri: Saya tidak tahu tuan. Itu kuasa Allah.

Ustaz: Kamu mahu saya ceritakan apa untungnya kamu sebagai isteri yang dianiaya dan dizalimi suami?

*Dengan lemah dan sedih, si isteri cuma mengangguk.

Ustaz: Rasul yang mulia telah bersabda bahawa, umur umatnya sekadar 60 ke 70 tahun sahaja. Andai sekarang kamu sudah 40 tahun, deritamu itu tidak akan lama lagi puan. Ia akan segera hilang saat Tuhanmu menjemput kamu kembali padaNya.

Andai kamu bersabar, segala derita itu akan Allah gantikan dengan syurga yang indah. Tidakkah itu bermakna kamu beruntung? Tahukah kamu, berapa lama derita dan sengsara yang bakal ditanggung suamimu di akhirat nanti?

Isteri: Tentunya Ustaz lebih tahu.

Ustaz: Bagi seorang suami, isteri adalah amanah yang wajib dijaga dengan baik. Segala tanggungjawab dan haknya wajib ditunaikan oleh seorang suami.

Suamimu yang telah menganiaya dan menzalimimu, akan disiksa oleh azab Allah diakhirat sana berjuta-juta kali ganda berbanding derita yang sedang engkau deritai di dunia ini wahai puan.

Bukankah sehari di akhirat itu, bersamaan dengan seribu tahun di dunia? Selagi mana kamu tidak redha akan kezaliman dan penganiayaannya terhadapmu, maka selagi itu suamimu itu akan terpaksa menanggung dosanya itu.

*Isteri itu tertunduk.

Ustaz: Tahukah kamu, siapakah yang paling mudah mengheret seorang suami ke neraka Allah di akhirat nanti? Tidak lain dan tidak bukan ialah isteri-isteri dan anak-anaknya sendiri. Mana-mana hak isteri-isteri dan anak-anak yang tidak ditunaikan, itulah antara hal yang cepat mengheret seorang suami di akhirat nanti.

Isteri: Tapi suami saya itu seorang yang kuat bersolat dan beribadah Ustaz. Mana mungkin dia akan ke neraka?

Ustaz: Selama mana kamu sebagai isterinya dianiaya dan dizalimi, tidak ditunaikan hak dan tanggungjawab, semua ibadahya termasuk solat, puasa, sedekah dan sebagainya, tidak berpahala di sisi Allah. Bahkan boleh sehingga Allah menolak solatnya itu? Apa lagi yang tinggal pada seorang hamba andai ibadat solatnya pun telah ditolak oleh Allah???

Isteri: Bagaimana andai dia menceraikan saya ustaz? Dapatkah dia menyelamatkan dirinya dari neraka Allah?

Ustaz: Selama mana kamu masih isterinya, dan kamu tidak redha, maka dia tetap akan menanggungnya.

Andai kamu diceraikan, sehingga habis tempoh iddah suamimu itu masih wajib mengurus dan menunaikan hakmu sebagai isteri. Dosanya padamu sepanjang tempoh itu tidak akan terluputkan walaupun dia telah menceraikanmu selagi kamu tidak redha. Suami yang tidak menunaikan hakmu itu adalah suami yang berhutang denganmu.

*Isteri itu diam.

Melihat isteri itu diam, Ustaz bertanya;

Ustaz: Pernahkah suamimu itu meminta maaf padamu?

*Isteri itu menggelengkan kepala.

Ustaz: Adakah puan masih menyayanginya?

*Isteri itu hanya membisu.

Ustaz: Adakah kamu redha akan perbuatannya terhadap kamu wahai puan?

*isteri itu masih diam.

Ustaz: Maha Suci Allah... Suamimu itu bukan menganiaya dan menzalimimu wahai puan, tetapi dia menganiaya dan menzalimi dirinya sendiri...

*Ustaz tunduk dan tiba-tiba mengalirkan air mata. Dia menangis sebak. Si isteri berasa pelik, lalu bertanya;

Isteri: Kenapa Ustaz menangis?

Ustaz: Aku berasa sedih dan amat takut kepada Allah. Aku kasihan kepada suamimu itu. Di akhirat nanti, sudah pasti kamu akan mengheretnya ke neraka Allah. Susah dan sukarnya menjadi seorang suami. Bahu seorang suami ini berat dan sarat mahu menanggung beban dosa yang banyak. Untungnya kalian para isteri. Walau di dunia Allah perintahkan kalian wajib taat dan patuh kepada suami, itu hanya sekejap sahaja.

Kesusahan dan kesulitan kalian hanya di dunia, sedang kami para suami, tertanggung hingga ke akhirat. Pulanglah wahai puan, andai kamu masih menyayangi suamimu, maafkanlah dia. Andai kamu tidak memaafkan dia, dan tidak redha akan perbuatannya, maka tertanggunglah di bahunya dosa yang berat itu hingga ke akhirat.

* Isteri itu pulang, tetapi kali ini wajahnya cerah dan bibirnya mengukir senyum mengenangkan janji-janji Allah yang disampaikan oleh Ustaz.

والله اعلم بالصواب
ربي أجعلني زوجة و أم صالحة

Kuatnya seorang wanita itu..
Apabila tetap bersabar walau diuji,
Tetap berbelas walau dikeji,
Tetap tersenyum walau disakiti,
Tetap mengasihi walau dibenci,
Tetap mendoakan walaupun di khianati....


You May Also Like

0 comments